SAYA mengimbau kembali
kepada doa bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor suatu ketika dahulu agar
memberikan umur yang panjang kepada Tun Mahathir bagi dia
melihat sendiri kerosakan yang beliau lakukan. Sehingga kini, Tun Mahathir
telahpun berusia 92 tahun, satu umur yang dikira sangat panjang dengan keadaan
kesihatan beliau masih kelihatan bagus. Dan alhamdulillah Tun kini bukan sahaja
masih segar berdiri, malah beliau juga sekarang telah menjadi salah seorang
yang aktif dalam pasukan penentang sistem yang beliau asaskan dahulu.
Jika dilihat dari mata kemajuan, sememangnya tidak dinafikan kepada
sumbangan Tun kepada Malaysia. Namun, bukan penilaian kerosakan itu didasarkan
kepada pencapaian materi tetapi kepada pencapaian nilai-nilai kemanusiaan
melalui jalan agama sebagai seorang pemimpin umat Islam. Betapa
rosaknya sistem yang kita warisi sehinggakan rasuah,
penyelewengan sekarang berlaku di mana-mana sahaja. Ini jelas kerana Islam tidak diletakkan beliau di tempat yang
sepatutnya.
Kerana perintah Allah tidak dijalankan
dengan sepatutnya, maka sistem sekarang adalah mewarisi sistem yang rosak.
Keberanian golongan bukan
Islam mencabar kedaulatan Islam adalah
disebabkan kelemahan yang jelas datangnya dari pemimpin Umno yang telah puluhan
tahun memegang tampuk pemerintahan negara tetapi apa yang diberikan kepada
kekuasaan Islam, amatlah sedikit, menghilangkan kegerunan golongan
pembenci Islam kepada
kehebatan agama ini.
Kini Tun Mahathir, setelah melakukan
tekanan, kerosakan kepada Islam sehingga
dilemahkan sebegitu rupa sepanjang pemerintahannya dahulu, beliau muncul
kembali ke layar politik dengan membawa janji perubahan kepada rakyat. Tanpa
beliau menyebutkan janji bagi memperkasakan Islam, beliau kelihatan membawa agenda sekular yang
sama iaitu hanya mahu menukar tubuh badan pemerintah
sahaja, bukan sistem. Lebih menarik, tiada minat
beliau mahu menggantikan Umno, tetapi hanya mahu meneruskan legasi beliau
dahulu melalui proksi beliau.
Paling jelas, beliau tetap menyerang PAS, walaupun menyatakan kononnya
lawan utama beliau adalah Umno. Dengan fitnah PAS bergabung dengan Umno dan
juga PAS menerima dedak daripada Umno,
sehingga sekarang masih belum dapat dibuktikan, malah gambar beliau pula yang
disiarkan bersama dengan pengarang Sarawak Reports. Begitulah bencinya beliau
kepada apa juga agenda yang berkait dengan Islam, terutama yang dibawakan oleh
PAS. Ini tidak menghairankan kerana boleh dilihat anakanda beliau yang
jelas pernah terlibat menjadi pemilik
kepada produk arak (KLIK DISINI) dan
seorang lagi menjadi pejuang yang menentang
undang-undang Islam sepertimana
Tun, lebih-lebih lagi yang melibatkan hak wanita, tanpa rasa sesal menolak
syariat.
Di kala mata rakyat memandang serius kepada beliau kerana isu pembunuhan
rakyat Memali dan
Suruhanjaya Diraja menyiasat kerugian Bank
Negara melaburkan
wang rakyat Malaysia lebih puluhan billion dalam urusniaga tukaran wang asing
pada awal 90-an yang dibangkitkan kembali ketika ini, beliau dengan tenang
menepis segala dakwaan itu dengan mengalihkannya kepada isu kafir mengkafir
yang didakwa beliau kononnya dicipta PAS. Kemahiran membodohkan rakyat masih
terserlah dalam gaya berpolitik Tun.
Ternyata produk rosak Umno ini, masih tegar mencari-cari ruang untuk membunuh PAS sedang dalam
masa yang sama, rakyat sudah
menyedari permainan beliau dan semakin muak dengan parti-parti yang menipu.
Kehadiran Tun juga tidaklah menguatkan gabungan pembangkang yang walaupun
mereka bersungguh-sungguh mendakwa semakin kukuh, hakikatnya semakin ramai yang
keluar dari parti kalaupun tidak bercakaran sesama sendiri. Ini adalah bahana
kesilapan mereka sendiri yang begitu percayakan Tun, IBARAT
BERANGAN-ANGAN TELUR TEMBELANG BOLEH MENJADI TELUR EMAS.
PAS begitu mahir dengan tipu daya Tun, masih gagah berdiri tanpa
kekacauan baik di dalam mahupun di luar kerana menolak sebarang kerjasama sama
ada dengan Tun, Umno, DAP, PKR mahupun juga pengkhianat. Sebaliknya PAS dengan
Gagasan Sejahtera, terus gagah berjalan ke medan tempur PRU dengan penuh
istiqamah membawa panji-panji Islam bagi menjadikan tawaran kepada kehidupan
rakyat yang penuh dengan keadilan di bawah syariat yang telah ditetapkan Allah.
Dan tidak lama lagi, bagi membuktikan bahawa PAS sentiasa istiqamah di jalan
Allah tanpa rasa gerun dengan kekalahan ataupun apa jua rintangan, di
Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, bakal berhimpun kira-kira
200,000 orang ahli dan penyokong PAS di situ bagi menzahirkan kesungguhan untuk menawan Terengganu.
Tiada keperluan PAS untuk mengambil tahu berkenaan Tun yang sudah
diketahui rakyat, yang beliau adalah keluaran Umno
yang buruk. Umno pula mewarisi segala kebejatan yang dilakukan bukan sahaja oleh
Tun, tetapi juga pembesar-pembesar mereka yang lain. Mereka semua sama sahaja,
bezanya siapa yang paling banyak membuat kerosakan. Mereka menjadi kumpulan
yang rosak dan merosakkan. PAS akan pasti menjadi
penyelamat kepada kerosakan ini bagi rakyat dan negara Malaysia ini. PAS
istiqamah menuju kemenangan. Wallahua’lam.
Ustaz
Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Muharram 1439 / 23 September 2017 – HARAKAHDAILY 23/9/2017
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Muharram 1439 / 23 September 2017 – HARAKAHDAILY 23/9/2017
Sumber:
KLIK DISINI