Mengharamkan kajian ketum akan
menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kerana tumbuhan itu mempunyai nilai
tinggi khususnya di pasaran luar negara, selain mudah
ditanam.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr
Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan harus membenarkan kajian mengenai
ketum bagi membolehkan potensi mengenai tumbuhan itu, khususnya dalam aspek perubatan
dikembangkan.
"Kita jangan haramkan pengambilan dan eksploitasi kajian untuk
ketum kerana kalau diharamkan, kita akan kerugian kerana tumbuhan bernilai
tinggi ini tidak terdapat di banyak negara.
"Ketum adalah satu daripada biodiversiti, tumbuhan di
negara kita yang tinggi nilainya serta mudah ditanam,” katanya pada sidang
media di parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai
kemungkinan jualan ketum, khususnya dalam aspek perubatan selepas Rang
Undang-Undang (RUU) Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017
diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Junaidi berkata kebimbangannya mengenai eksploitasi
ketum daripada pihak luar juga kini dapat diatasi selepas RUU berkenaan
diluluskan.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU terswebut yang
berfungsi untuk mengawal selia aktiviti berkaitan sumber biodiversiti negara,
selain mengatasi masalah kecurian dalam usaha menjana ekonomi negara pada masa
hadapan.
Ketika membentangkan RUU itu, Wan Junaidi berkata, ia
dapat mengelakkan aktiviti ‘biopiracy’, iaitu pihak tertentu membangunkan
sumber biologi negara tanpa sebarang perkongsian faedah kepada negara berkenaan.
Sementara itu,
ketika sidang media, Wan Junaidi berkata RUU itu juga mengawal hasil
biodiversiti negara daripada dieksploitasi saintis luar, dengan memperuntukkan
hukuman sehingga RM500,000 dan 10 tahun penjara.
Katanya, pelbagai negara seperti Thailand dan Amerika
Syarikat (AS) banyak mendapatkan daun ketum daripada Malaysia untuk menjalankan
kajian, sehingga timbul kebimbangan hasil kajian akan dipatenkan negara
terbabit.
Bagaimanapun, katanya, RUU itu masih tidak mengizinkan
ketum dikomersialkan kerana perkara itu masih dibawah bidang kuasa Kementerian
Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan. Undang-undang ketika ini melarang
penjualan air atau bahan diproses daripada tanaman ketum mengikut pindaan Akta
Racun 1952.
Sumber: KLIK DISINI