Translate

28/08/2017

AMANAH BIMBANG PKR BERPECAH KERANA PAS

SHAH ALAM: Amanah bimbang rakan komponennya, PKR akan berpecah akibat daripada pertikaian di antara pemimpin parti itu berhubung isu rundingan dengan PAS.

Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir berkata, PAS sebelum ini telah berjaya menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) terkubur selepas mereka memutuskan hubungan dengan DAP dua tahun lalu, dan kini beliau khuatir PAS akan mengulanginya dengan menjadi 'punca' perpecahan PKR.

"Saya berharap kalau PAS telah memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat (PR), terkubur PR kerana PAS telah memutuskan hubungan dengan salah satu anggota yang bertiga iaitu DAP.

"Sekarang janganlah PKR pula berpecah kerana PAS," katanya ketika dihubungi Antarapos

Ujar Anuar, sememangnya wujud individu tertentu yang masih mahu meneruskan rundingan bersama PAS dengan melakukannya secara peribadi dan bukan mewakili parti.

Keadaan itu ujarnya, menyebabkan berlakunya pertikaian di antara mereka sehingga memporak-perandakan PKR pada hari ini.

"Nampaknya masih ada di kalangan parti dalam PH masih cuba nak berunding lagi dan berunding secara peribadi dan bukan bagi pihak PH. 

"Sekarang ini kita tengok perkara ini berlaku sehingga telah menyebabkan berbelah-bahagi sikap pemimpin-pemimpinnya," ujarnya.

Konflik di dalam PKR sampai ke kemuncaknya pada hari ini apabila wakil-wakil cabang PKR seluruh negara menggesa parti untuk mengadakan satu kongres khas bagi memuktamadkan kerjasama dengan PAS dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Kongres khas yang dicadangkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli itu bagaimanapun seakan mendapat reaksi kurang positif daripada Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali. 

Azmin malah mengingatkan pemimpin-pemimpin parti untuk tidak membawa urusan dalaman parti kepada pihak luar, termasuk media.

Cadangan Rafizi itu susulan mendakwa wujud dua kumpulan yang saling bertentangan di dalam parti mengenai cara bagaimana PAS perlu ditangani.

Amanah tegas tapi enggan paksa

Dalam pada itu, mengulas mengenai 'nasihat' bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu Amanah tegas menolak cadangan PKR mengadakan rundingan dengan PKR, ini kata Anuar.

"Tidak timbul soal tegas tak tegas, kami dari dahulu sudah tahu mereka bagaimana, jadi tidak sesiapa meminta begitu, tapi saya tetap berterima kasih dengan nasihat itu.

"Kami dah lama mengambil sikap itu cuba kami tidak boleh memaksa kawan-kawan yang nak terus berjumpa," katanya.

Isu kerjasama PKR-PAS kembali hangat selepas tersebarnya gambar kunjungan Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali bersama Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Azmin baru-baru ini menafikan beliau bertindak secara berseorangan dalam rundingan dengan PAS, sebaliknya mendakwa ia adalah keputusan parti.

Wan Azizah juga pernah dilaporkan berkata parti tidak menolak kemungkinan jalinan kerjasama berikutan membawa misi yang sama dalam kalangan pembangkang iaitu menumbangkan Umno-BN.

Pendirian pemimpin tertinggi PKR yang mahu meneruskan rundingan dengan PAS turut menyebabkan Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengumumkan peletakan jawatannya daripada Biro Politik PKR, ekoran tidak bersetuju dengan langkah tersebut. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...