Rakyat perlu
menolak Pakatan Harapan yang diterajui pemimpin ‘gila talak’, kata
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau
berkata pakatan pembangkang itu umpama kapal tiga
nakhoda yang menunggu
masa untuk tenggelam akibat tidak tidak sehaluan.
“Rakyat
sudah berikan peluang selama 22 tahun untuk ‘top dog’ itu
memimpin. Kali ini, apabila kegilaan talak berlaku, saya fikir tibalah
masanya rakyat menolak pakatan impian siang hari ini yang berketuakan seorang
yang kehilangan talaknya,” katanya.
Beliau berkata demikian
semasa berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Ketereh di
Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor di sini, hari ini yang
dihadiri kira-kira 20,000 orang.
Turut hadir Anggota
Parlimen Ketereh ,Tan Sri Annuar Musa yang juga Ketua Penerangan UMNO;
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan
timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Zahid
yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO
berkata rakyat harus menolak pemimpin berkenaan yang sudah
diberikan peluang memerintah ketika eranya.
“Zaman seseorang itu menjadi pemimpin sudah
berlalu, beliau sepatutnya menjadi negarawan yang dihormati namun,
sebaliknya, beliau sering berbeza pendapat dan mendakwa pemimpin
sekarang tidak betul.
“Setiap
pemimpin ada eranya dan masanya sudah tamat. Jangan campur soal politik
sebaliknya, serah kepada kami (pemimpin negara sekarang),” katanya.
Dalam pada
itu, Ahmad Zahid berharap rakyat memahami prinsip kebersamaan
dalam kalangan parti-parti Barisan Nasional (BN) sejak 1957 yang
menjadi kekuatan dalam kerajaan BN hingga sekarang.
“Kita (BN)
adalah perkahwinan politik secara kekal bukan perkahwinan mutaah. Daripada tiga
rakan kepada 14 rakan dan kini menjadi 13 rakan. Mereka (pakatan pembangkang)
pula daripada Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pakatan Rakyat dan kini Pakatan
Harapan,” katanya.
Sementara
itu, Ahmad Zahid yang dalam lawatan kerja sehari ke Kelantan, menunaikan solat
Jumaat di Masjid Bukit Marak di sini sebelum menghadiri majlis jamuan
Aidilfitri UMNO Kelantan di Dataran Rehal di sini. – BERNAMA