PENUBUHAN SURUHANJAYA SIASATAN UNTUK MENYIASAT KES KERUGIAN
AKIBAT URUS NIAGA MATA WANG ASING OLEH BANK NEGARA MALAYSIA SEKITAR TAHUN
1990-AN.
Adalah dimaklumkan bahawa
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah
memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Untuk
Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara
Malaysia Sekitar Tahun 1990-an, di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta
119), berkuat kuasa mulai 15 Julai 2017.
2.Selaras dengan peruntukan
Akta 119, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong telah memperkenankan perkara-perkara berikut:-
(A) Keanggotaan:
(i) YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Bin Hassan, Pengerusi Petroliam Nasional Berhad
(PETRONAS) (Pengerusi);
(ii) YA Datuk Wira Kamaludin
Bin Md Said, Hakim Mahkamah Tinggi (Ahli);
(iii) YBhg. Datuk Seri
Tajuddin Bin Atan, Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Berhad (Ahli);
(iiii) YBhg. Tan Sri Saw Choo
Boon, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Ahli);
(v) Encik Pushpanathan A/L
S.A Kanagarayar, Ahli Institut Akauntan Malaysia, Ahli Institut Akauntan Awam
Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young (Ahli);
dan
(vi) YBhg. Dato’ Dr. Yusof
Bin Ismail, Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan
sebagai Setiausaha.
(B) Bidang tugas Suruhanjaya:
(i) Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus
niaga pertukaran mata wang asing yang dialami oleh Bank Negara Malaysia sekitar
tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara;
(ii) Menentukan sama ada penglibatan
Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga
mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan
Central Bank Ordinance 1958atau mana-mana undang-undang yang berkaitan;
(iii) Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan
maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam
aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan
(misleading) Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat;
(iiii) Mengesyorkan
tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak
yang terlibat secara langsung dan / atau tidak langsung jika didapati mereka
menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan
maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan
(v) Mengesyorkan
langkah-langkah bagi memastikan perkara yang
sama tidak berulang.
3. Suruhanjaya ini akan menyelesaikan
siasatannya dalam tempoh tiga bulan mulai kuat kuasa penubuhannya dan akan
menyembahkan laporannya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong.
4. Pelantikan YBhg. Tan Sri
Mohd Sidek Bin Hassan sebagai Pengerusi dan YBhg. Tan Sri Saw Choo Boon sebagai
Ahli Suruhanjaya ini adalah bagi mewujudkan kesinambungan memandangkan mereka
telah menganggotai Pasukan Petugas Khas mengenai perkara yang sama sebelum ini.
Keanggotaan Ahli-ahli yang lain adalah mengambil kira kelayakan dan pengalaman
mereka dalam bidang-bidang yang berkait rapat dengan siasatan yang akan
dijalankan oleh Suruhanjaya.
PMO MALAYSIA