KUALA LUMPUR - Umno diingatkan agar tidak terus mengangkat
dan memberi peluang kepada individu yang lupa daratan dan kembali
kepada parti setelah memburuk-burukkan parti dan kepimpinan ketika di luar
Umno.
Setiausaha Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, banyak peluang diberikan kepada golongan itu, termasuk tempat, habuan
dan pangkat.
"Tindakan itu sekaligus menafikan tokoh-tokoh yang setia
kepada Umno yang juga berkelayakan. Cukuplah dengan tindakan membalas budi yang boleh merugikan parti seperti
itu.
"Susuilah
anak yang di pangkuan dahulu. Mereka
lebih berhak untuk mendapat kasih sayang daripada kera di hutan," katanya
dalam kenyataan media, hari ini.
Mustapa juga menegaskan bahawa Umno tidak menanggung sebarang
kerugian jika ada anggota yang memutuskan untuk keluar daripada parti
itu.
Semalam, bekas Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor membuat
keputusan keluar daripada Umno demi mempertahankan prinsip perjuangannya yang
ingin membawa perubahan terhadap negara ini.
"Kalau Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) boleh
dipecat dan Naib Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) boleh keluar Umno,
maka siapa sangat (Mohamad) Ezam yang perlu dirasai kehilangannya?.
"Biarlah dia keluar. Malah lagi ramai orang seperti (Mohamad)
Ezam yang keluar Umno lebih baik," kata Mustapha.
Beliau berkata, Umno lebih selamat dengan keluarnya 'golongan
parasit yang menjadi duri dalam daging dalam parti', kerana berdasarkan
pemerhatian Veteran Umno jelas bahawa tindakan mereka yang keluar parti bukan
kerana prinsip perjuangan tetapi prinsip peribadi. – Bernama