PUTRAJAYA - Ahli Parlimen PKR, Shamsul Iskandar
Mat Akin menegaskan kehadirannya dalam
pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari
ini sebagai mewakili ahli-ahli Parlimen PKR yang lain.
Menurutnya, kehadirannya itu tidak
perlu dispekulasikan meskipun terdapat surat
peringatan dari penjara ditulis bekas Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar, baru-baru ini.
"Pertemuan hari ini adalah hasrat
Tun Mahathir yang mahu bertemu dengan ahli Parlimen pembangkang. Tentunya
kehadiran saya untuk mewakili rakan-rakan ahli Parlimen PKR kerana Pas hadir,
DAP juga hadir dan Amanah juga hadir.
"Saya fikir tidak perlu spekulasi
perkara ini. Tidak perlu panjangkan kerana kita sentiasa tahu, obor reformasi
itu bagi kita...bagi saya bermula dengan gerakan reformasi 1998," katanya
kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media bersama Mahathir di
Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Sebelum ini, Anwar menulis surat
panjang lebar menegur pimpinan PKR berhubung kerjasama parti itu dengan
Mahathir dalam Deklarasi Rakyat.
Namun menurut Shamsul yang juga Ahli
Parlimen Bukit Katil, dalam pertemuan itu mereka membincangkan isu-isu politik
semasa berkaitan peranan ahli-ahli Parlimen.
"Ini tentunya tidak memberikan
sebarang implikasi yang negatif terhadap apa yang sedang kita usahakan. Saya
percaya surat peringatan DS Anwar itu pun jelas, bukan bermakna putus hubungan
secara muktamad cuma diminta kita tidak lari daripada fokus, agenda rakyat, reformasi
dan perubahan.
"Tentulah dalam pertemuan seperti
ini, isu-isu itu dibincangkan. Seperti disebut (Tun Mahathir), isu-isu
berkaitan GST, harga minyak, beban ekonomi. Jadi, ini perkara yang saya fikir
tidak lari daripada asas perjuangan PKR," katanya.
Katanya lagi, sebagai antara individu
yang awal menandatangani Deklarasi Rakyat, pihaknya sentiasa mengemukakan
agenda reformasi sebagai satu paksi dalam perjuangan mereka untuk buat
perubahan.
Dalam pertemuan lebih satu jam itu,
beberapa kelibat pemimpin DAP kelihatan hadir namun pemimpin PKR, Amanah dan
Pas hanya diwakili seorang ahli Parlimen sahaja.
Kelihatan Ahli Parlimen Pokok Sena,
Datuk Mahfuz Omar dari Pas dan dari Amanah pula ada Ahli Parlimen Parit Buntar,
Datuk Mujahid Yusoff Rawa.
Sumber: KLIK DISINI