PUTRAJAYA - Ahli Parlimen PKR, Shamsul Iskandar
Mat Akin menegaskan kehadirannya dalam
pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari
ini sebagai mewakili ahli-ahli Parlimen PKR yang lain.
Menurutnya, kehadirannya itu tidak
perlu dispekulasikan meskipun terdapat surat
peringatan dari penjara ditulis bekas Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar, baru-baru ini.
"Pertemuan hari ini adalah hasrat
Tun Mahathir yang mahu bertemu dengan ahli Parlimen pembangkang. Tentunya
kehadiran saya untuk mewakili rakan-rakan ahli Parlimen PKR kerana Pas hadir,
DAP juga hadir dan Amanah juga hadir.
"Saya fikir tidak perlu spekulasi
perkara ini. Tidak perlu panjangkan kerana kita sentiasa tahu, obor reformasi
itu bagi kita...bagi saya bermula dengan gerakan reformasi 1998," katanya
kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media bersama Mahathir di
Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
