MARANG - Tindakan seorang mangsa
ragut mengekori suspek sehingga suspek pulang ke rumah, membolehkan beg sandang
berisi wang tunai berjumlah lebih RM800 dan sebentuk cincin serta dokumen
penting yang diragut diperoleh semula.
Dalam
kejadian kira-kira jam 6.15 petang, pada Jumaat itu, mangsa seorang wanita
berusia 43 tahun sedang menunggang motosikal bersama anak bongsunya berusia
lapan tahun apabila beg sandang miliknya itu diragut seorang lelaki
bermotosikal.
“Ketika itu,
saya baharu tiba di persimpangan rumah di Jalan Tanah Lot, dan kemudiannya
secara tiba-tiba datang sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki meragut beg
yang diletakkan dalam raga motosikal tetapi talinya disilangkan pada bahu saya.
“Dia
(suspek) kemudiannya melarikan diri dan selepas itu saya dan suami yang
kebetulan berada di lokasi kejadian mengejarnya dengan menaiki motosikal
masing-masing namun suami tersalah jalan tetapi saya terus cuba mengesannya,”
katanya, kepada Sinar Harian.
Mangsa yang
membawa bersama anak bongsunya itu berkata, ketika cuba mengesan suspek dia
melihat seorang lelaki disyaki adalah suspek yang meragutnya berhenti di sebuah
rumah di kawasan berbukit (Bukit Gasing) kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
“Saya
memberanikan diri bertanya kepada lelaki itu adakah dia perasan ada seorang
lelaki menaiki motosikal yang memakai baju berwarna sama seperti yang
dipakainya melintas di kawasan berkenaan namun dia kata, dia tidak nampak
sesiapa.
“Saya
mengesyaki bahawa dialah lelaki yang saya cuba ekori tadi lalu meminta
kebenarannya untuk memeriksa dalam rumah itu, selepas diberikan kebenaran
olehnya saya membuat pemeriksaan namun tidak menemui apa-apa dalam bilik
utama,” katanya.
Selepas
gagal menemui apa-apa di bilik utama, mangsa kemudiannya masuk dan membuat pemeriksaan
di bilik kedua kerana yakin lelaki terbabit yang meragut begnya dan akhirnya
berjaya menemui semula beg tersebut disorokkan dalam bilik kedua
itu.
Suri rumah
itu berkata, suspek kemudiannya terus memegang tangannya agar dia tidak dapat
keluar dari rumah tersebut dan dalam masa sama meminta maaf sambil mengaku
bahawa dialah yang meragut beg sandang tersebut atas alasan tertentu.
“Bagaimanapun
saya berkeras mahu keluar dari rumah itu dan dibenarkan keluar selepas
memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak akan buat laporan polis tetapi saya
mengambil keputusan sebaliknya selepas selamat pulang ke rumah,”
katanya.
Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika
dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan namun memaklumkan bahawa
kes tersebut masih dalam siasatan.