BUKIT MERTAJAM, 8 Februari:
Nasi kosong, kadangkala berlaukkan mi segera!
Itu makanan yang mampu disediakan seorang ibu buta
dari flat Kota Permai di sini untuk keluarga.
Demi kelangsungan hidup keluarga Malikah Cholil, 34,
mengambil upah mencuci pakaian menggunakan mesin basuh yang dihadiahkan oleh
kawan-kawan suaminya, Othman Md Hassan, 76.
Upah yang dapat? Antara RM5 dan RM8 sehari!
Othman sendiri tidak berdaya untuk bekerja kerana
menghidap sakit jantung dan anaemia sejak dua tahun lepas.
“Pakcik dulu berniaga air di tepi jalan tapi selepas
disahkan sakit, selalu sesak nafas, sakit badan dan cepat penat, sekarang
langsung tidak boleh bekerja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan – Siti Nor
Afida, 13; dan Siti Zuraida, 11, masing-masing belajar di Sekolah Menengah
Kebangsaan Alma dan Sekolah Kebangsaan Bukit Minyak.
Othman berkata peningkatan kos sara hidup pada masa
kini, termasuk kos rawatan dan kunjungan ke hospital setiap minggu, sangat
menghimpit kehidupan keluarganya sehingga kadang kala tiada makanan terhidang
untuk mereka.
“Kami sekeluarga tiada pendapatan tetap, namun
bernasib baik kerana kadang-kadang ada jiran menyumbang makanan untuk
kami.
“Nasib baik anak-anak faham dan tidak merungut, tapi
pakcik kesian pada mereka.
“Kadang-kadang anak sulung terpaksa bekerja tolong
kemas rumah orang untuk dapatkan duit upah bagi bantu keluarga,” katanya.
Sementara itu, Malikah berkata dia mengalami masalah
penglihatan ketika mengandung anak bongsu mereka.
Selepas melahirkan Siti Zuraida dia terus buta dan
doktor memaklumkan tiada rawatan bagi mengubati matanya.
Malikah berkata mereka sekeluarga pernah mendapat
bantuan RM1,000 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) tahun lepas dan baru bulan
lepas mula menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
sebanyak RM200.
“Pendapatan ini tidak cukup untuk menampung kos
perbelanjaan bulanan kami.
“Sekurang-kurangnya sebulan kami perlukan lebih
RM1,000 untuk sewa rumah, bil air dan elektik, kos perubatan suami dan belanja
sekolah anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, sebuah pertubuhan bukan Kerajaan
(NGO), One Hope Charity and Welfare tampil membantu keluarga berkenaan dengan
menyalurkan bantuan bulanan berupa makanan dan wang tunai sejak dua bulan
lepas.
Pengerusi One Hope Charity &
Welfare Berhad, Chua Sui Hau (kiri) menyerahkan cek sumbangan RM4,000 kepada
Othman Md hassan, 76, bagi meringankan beban keluarga beliau. Othman, penghidap
sakit jantung mempunyai isteri yang cacat penglihatan Malikah Cholil, 34 (tiga
kiri) dan dua orang anak Siti Nor Afida Othman, 13 (duduk kanan) dan Siti
Zuraida Othman, 11 (duduk dua kanan). Demi menampung kehidupan mereka
sekeluarga, Malikah mengambil upah mencuci dan menggosok baju sebagai wang
tambahan. – Foto Bernama
Pengerusinya, Chua Sui Hau berkata, “Hari ini kami
memberi bantuan sebanyak RM4,000 dan kami juga merancang mengumpul dana
sebanyak RM40,000 dalam tempoh tiga tahun bagi membantu keluarga berkenaan.
“Wang itu akan disalurkan sebanyak RM1,000 setiap
bulan untuk keluarga itu.
“Orang ramai juga boleh menderma melalui Public Bank,
nombor akaun 3184938918 atas nama One Hope Charity and Welfare yang memang
dikhaskan untuk pakcik Othman,” katanya.
Chua berkata NGO itu membantu orang ramai tanpa
mengira kaum dan agama. Sumber