Shahrizat
kecewa Rafidah seperti pembangkang serang Najib
KUALA LUMPUR, 6
Februari:
Wanita UMNO
kecewa dengan sikap serta tindak-tanduk Tan Sri Rafidah Aziz yang bertindak
seperti pembangkang apabila menyerang kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak dalam isu politik Kedah.
Utusan Malaysia melaporkan
ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bekas pemimpin Wanita UMNO
itu juga seolah-olah sudah menggadaikan prinsip perjuangan apabila tergamak
membuat pelbagai persepsi serta andaian terhadap isu tertentu dalam parti.
“Saya amat
hairan dan geleng kepala membaca kenyataan beliau. Selama 22 tahun Tan Sri
Rafidah memimpin Wanita, kami sering diingatkan supaya sentiasa disiplin, taat
dan patuh kepada kepimpinan parti terutama kepada Presiden.
“Prinsip ini
seolah-olah telah digadaikan bilamana kini beliau pula secara terang-terangan
menyangkal kepemimpinan Presiden UMNO dan membuat pelbagai persepsi serta
andaian terhadap isu yang berlaku di dalam parti mahupun negara.
“Sayang seribu
kali sayang, Tan Sri Rafidah yang dulu kebal dengan prinsip perjuangan, kini
seakan terjebak dengan permainan pembangkang untuk melemahkan parti,” kata
Shahrizat menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Rafidah ketika
mengulas kemelut politik di Kedah yang menyaksikan Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir terpaksa berundur daripada kedudukannya selaku Menteri Besar antara
lain `menuduh’ Perdana Menteri sebagai dalang kepada krisis tersebut.
Dalam pada itu,
Shahrizat memaklumkan, Wanita UMNO selaku sayap yang menjadi tulang belakang
kepada parti, akan sentiasa mendukung Presiden UMNO dan kesetiaan tersebut
tidak akan goyah hanya kerana kenyataan seperti dibuat Rafidah.
“Wanita UMNO
istiqamah memegang prinsip kesetiaan serta menyokong pimpinan Perdana Menteri
kerana beliau mengambil berat tentang perjuangan parti dan juga menjaga rakyat
dengan baik, di kala seluruh dunia menghadapi cabaran,” katanya.
Sumber: KLIK DISINI