Translate

06/12/2015

MENTERI KESIHATAN PUTAR BELIT LAGI ISU VAPE ???

Bukan Dasar Kerajaan Persekutuan Memberi Saranan Kepada Kerajaan Negeri – Subramaniam

SEREMBAN, 5 Dis (Bernama) -- Bukan dasar kerajaan persekutuan untuk memberi saranan kepada kerajaan negeri supaya menggubal undang-undang kecil untuk mengharamkan penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di kalangan masyarakat setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekeliruan media berhubung kenyataan timbalannya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang didakwa mengalu-alukan segala inisiatif terhadap rokok elektronik berkenaan.

"Saya tidak cakap pun macam itu. Kita di peringkat persekutuan sedang membincangkan hal ini dengan pelbagai kementerian berkaitan mengenai penguatkuasaan undang-undang terhadap vape kelak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau ditemui pada majlis ramah mesra kepimpinan MIC Negeri Sembilan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S. K. Devamany dan Naib Presiden MIC Datuk Jaspal Singh serta Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam.

Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata kementeriannya juga sedang menimba pengalaman dari negara lain berhubung vape.

"Sama ada hendak gubal undang-undang baharu atau bergantung pada undang-undang sedia ada, semuanya masih lagi dalam proses. Itu semua keputusan kabinet," katanya.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata MIC mesti menunjukkan kekuatannya pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) akan datang jika ingin terus kekal relevan dalam iklim politik negara ini.

Oleh itu, katanya semua pemimpin dan anggota parti perlu bersatu padu untuk memastikan parti itu terus kuat.

"Setelah kita akhiri kemelut parti baru-baru ini, kita perlu bergerak dan terus bergerak ke depan dalam perjuangan parti. Kita tidak ada masa lagi untuk bergaduh sesama kita. Kini adalah masa untuk kita bersatu padu dan bergerak ke hadapan kerana dalam menghadapi pelbagai cabaran, kesatuan kita mesti kukuh dan kuat," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata anggota parti MIC mesti yakin dengan kepimpinan baharu parti membela nasib masyarakat India di negara ini.

"Presiden MIC yang baharu Datuk Seri Dr. Subramaniam telah membuka lambaran baharu untuk memperkuatkan parti dan yang penting semua mesti memberikan sokongan kepadanya. Saya juga yakin masa depan masyarakt India di negara ini lebih terjamin dalam BN," katanya.- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...