Menteri Besar Kedah Datuk Seri
Mukhriz Tun Dr Mahathir mahu tumpuan diberikan terhadap usaha ‘meremajakan’
UMNO kerana majoriti pengundi merupakan golongan muda.
Anggota
Majlis Tertinggi UMNO itu berkata langkah itu penting bagi menarik minat orang
muda untuk menyertai perjuangan UMNO selain memastikan kemenangan berpihak
kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
“Orang muda
pada ketika ini lebih cenderung kepada pembangkang yang menonjolkan pemimpin
muda yang lantang bersuara walaupun isinya belum tentu lagi ada.
“Saya mohon
untuk kita menjamin kesinambungan perjuangan parti. Orang lama harus mendidik
pewaris perjuangan ini, didik mereka supaya mereka ini tidak menyimpang
daripada perjuangan, ajar mereka bagaimana kita berjuang dan benarkan mereka
untuk memilih apa jua cara pendekatan yang sesuai dengan keadaan semasa,”
katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kampar di Dewan
Banquet RTC Gopeng hari ini.
Selain itu,
Mukhriz berkata kebajikan rakyat perlu dijaga kerana mereka akan menyokong UMNO
dan BN jika pemimpin dan anggota parti komited membantu dan memahami situasi
yang mereka alami.
“Rakyat ini
juga daripada kalangan orang yang bersyukur, tahu kenang budi, siapa yang
berbudi kepada mereka, selalu pergi berjumpa dengan rakyat jadi sahabat … itu
sebenarnya yang beri kemenangan,” katanya. – BERNAMA