Kota Bharu: Walaupun tujuh kali
gagal temu duga Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) sebelum
ini, namun ia tidak mematahkan semangat Saifullizam Othman, 24, untuk terus
mencuba nasib dengan menghadiri temu duga berkenaan.
Menurutnya, minat dan dorongan ibu bapa menyebabkan dia terus mencuba nasib
untuk menjadi seorang anggota SSPDRM.
Katanya, dalam sesi temu duga sebelum ini, dia menghadapi masalah berat
badan berlebihan menyebabkannya gagal.
“Sejak hari itu, saya bertekad mengawal pemakanan dan bersenam sebagai
persediaan menghadiri temu duga hari ini (semalam).
“Walaupun sekarang bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat di sini, saya
yakin dapat memberikan komitmen jika terpilih,” katanya ketika di temui di
sini.
Seorang lagi calon, Norsalwani Mohamad, 21, berkata, minat mendalam
terhadap drama bersiri Gerak Khas mendorongnya mencuba nasib dalam temuduga
SSPDRM.