MARANG 6 Feb. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menempelak Lim Guan Eng yang mempertikaikan kehadirannya dalam mesyuarat
kepemimpinan pakatan pembangkang dengan menegaskan beliau bukan budak sekolah
untuk menurut arahan pemimpin DAP itu.
Tegas Ahli Parlimen Marang itu, Guan Eng tidak berhak
untuk menentukan sama ada beliau perlu menghadiri mesyuarat berkenaan atau
tidak.
Katanya, terpulang kepada beliau sendiri untuk hadir
atau tidak ke mesyuarat yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Pas di ibu
negara pada Ahad ini.
“Dia (Guan Eng)
tak berhak tentukan saya hadir atau tidak dalam mesyuarat pakatan rakyat
(pembangkang) nanti. Terpulang pada sayalah nak hadir atau tidak. Saya bukan
murid sekolah. Itu hak saya.
“Kita tengok dulu, kita tengok pada hari mesyuarat
sama ada saya hadir atau tidak dan saya tidak bergantung kepada sesiapa,“
katanya kepada pemberita di kediamannya sejurus selesai menyampaikan kuliah
Jumaat di Masjid Rusila yang terletak bersebelahan, hari ini.
Beliau diminta mengulas peringatan Guan Eng semalam bahawa
mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang yang dijadualkan berlangsung Ahad
ini tidak akan diteruskan jika Abdul Hadi tidak hadir.
Pemimpin DAP itu berkata, tarikh mesyuarat tersebut
telah ditetapkan dan semua parti dalam pakatan pembangkang perlu memberi
komitmen bagi menghadiri mesyuarat itu yang akan bermula pukul 2.30 petang.
Kata Abdul Hadi, jika dibandingkan dengan Setiausaha
Agung DAP yang jawatannya itu masih belum disahkan, beliau sendiri lebih kerap
menghadiri mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang sejak dahulu lagi.
Walau bagaimanapun katanya, pada masa-masa tertentu
beliau terpaksa membatalkan kehadiran atas faktor kesihatan dan uzur.
Malah menurutnya, sewaktu menjadi Menteri Besar dahulu
beliau masih sempat menghadiri setiap mesyuarat dan tidak sesibuk Guan Eng
selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Saya lebih banyak hadir mesyuarat (pakatan
pembangkang) daripada Guan Eng. Dia paling banyak tidak hadir mesyuarat. Saya
yang paling banyak hadir kecuali saya sakit atau uzur. Masa saya jadi MB
(Menteri Besar Terengganu) dulu pun, saya hadir tiap-tiap mesyuarat (parti
pembangkang).
“Saya tak sibuk macam Ketua Menteri (Guan Eng). Kalau
sibuk pun saya mesti hadir mesyuarat. (Jadi), kena check (periksa) betul-betul
dari segi kehadiran, siapa paling banyak tak hadir mesyuarat,“ tegasnya.