KUALA LUMPUR, 3
Februari: Sikap pengguna
negara ini yang tidak tahu menggunakan hak adalah punca peniaga mengambil
kesempatan ‘memijak kepala’ mereka dengan tidak mengendahkan desakan agar
menurun harga barangan ekoran harga bahan api yang makin murah, kata Ketua
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Katanya,
walaupun kerajaan sudah tiga kali mengumumkan penurunan harga minyak dengan
yang terbaru berkuatkuasa 1 Februari, peniaga bersikap ‘pekak badak’
menjual barangan pada harga lama, malah ada yang lebih tinggi lagi
disebabkan mereka tidak merasa terancam atau ‘gerun’ dengan kuasa yang ada pada
pengguna.
“Pengguna sudah
lama sangat tidur, paling baik pun mengantuk. Mereka selama ini membiarkan
sahaja harga barang terus naik tanpa melakukan sesuatu.
“Bila harga
barang naik, kerajaan akan bagi subsidi untuk mengawal harga tersebut
menyebabkan pengguna terus tidur,” katanya ketika ditemui The Rakyat
Post pada Isnin.
Sehubungan itu,
Nadzim berkata, pihaknya akan mewujudkan satu pusat boikot yang berfungsi membuat
kajian terhadap harga semasa barangan tertentu dan pengguna boleh mengetahui
harga sebenar berbanding harga jualan di kedai.
Menurut beliau
usaha itu akan dijalankan dengan kerjasama daripada lebih 20 badan bukan
kerajaan (NGO) yang mempunyai ahli yang ramai seperti Kongres Kesatuan Sekerja
Kakitangan Awam (CUEPACS).
“Kita akan
wujudkan ‘boycott centre’ di mana ia akan mengumpulkan maklumat
harga barang yang naik dan perlu dikawal.
“Selepas itu
kita akan gunakan media sosial untuk memboikot peniaga-peniaga yang menjual
harga barangan lebih mahal daripada biasa.
“Mereka
(peniaga) yang terus menipu, mereka kena berani tanggung risiko,” tegasnya.
Mengulas
mengenai cadangan memisahkan bahagian kepenggunaan daripada Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan diletakkan
terus di bawah Jabatan Perdana Menteri, Nadzim menyifatkan ia cadangan yang
baik tetapi ada perkara yang lebih penting.
Masyarakat
harus dididik tentang hak pengguna dan tidak dibiarkan terus bergantung harap
kepada agensi atau jabatan kerajaan, jelas beliau.
“Sikap itu
perlu diperbetulkan kerana (kuasa) kerajaan mempunyai hadnya.
“Kalau terus
dibiarkan, walaupun kita mencapai negara maju pada tahun 2020, pengguna tetap
berada pada takuk lama di mana mereka terus ditindas,” tegas beliau.