PUTRAJAYA
1 Dis. - Selepas mencadangkan hukuman sebat mandatori dikenakan ke atas ejen
yang didapati bersalah membawa masuk pekerja asing secara haram ke Malaysia,
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mahu hukuman sama turut dikenakan
kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen yang bersekongkol dengan ejen
berkenaan.
Menteri berkenaan, Datuk Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan ke arah pelaksanaan hukuman itu
akan dimulakan minggu ini melibatkan penasihat undang-undang KDN, Jabatan
Imigresen dan Jabatan Peguam Negara.
“Kita ingin cadangkannya
kepada kerajaan setelah perbincangan ini selesai kerana saya berpandangan
hukuman penjara dan denda tidak memadai untuk memastikan perbuatan itu daripada
berulang.
“Jika ia melibatkan pindaan
Akta Imigresen, kita akan bawa ke Parlimen. Namun jika sebaliknya, kita hanya
akan pinda atau masukkan klausa berkenaan hukuman itu pada peraturan Imigresen
sedia ada,” katanya.
Bercakap pada sidang akhbar
selepas menghadiri sambutan Hari Imigresen di sini, Ahmad Zahid berkata,
walaupun kakitangan Imigresen bersekongkol dengan ejen pekerja asing hanya kes
terpencil, cadangan hukuman itu perlu dibuat bagi memastikan nama baik jabatan
itu terpelihara. - BERNAMA