Imigresen 'Tunggu Masa' Serbu Cameron
Highlands ?
PUTRAJAYA: Jabatan
Imigresen kini sedang 'menunggu masa' untuk melakukan serbuan terhadap
penempatan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Cameron Highlands.
Ketua Pengarahnya yang baharu dilantik, Datuk Mustafa
Ibrahim berkata, membasmi pendatang haram akan terus menjadi keutamaan jabatan
itu dan fokus terkini akan diberikan terhadap kumpulan Pati di Cameron
Highlands.
"Isu lambakan Pati akan menjadi agenda utama kita dan
saya telah pun diberi taklimat mengenainya.
"Di Cameron Highlands, kita ada buat risikan melalui
Unit Risikan dan kita pun 'menunggu masa'...saya harap pihak berkepentingan di
sana dapat berwaspada mulai sekarang," katanya pada sidang media khas
sempena pelantikannya di Kompleks Jabatan Imigresen di sini, Isnin.
Mustafa yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua
Pengarah RELA berkata, masalah Pati di tanah tinggi itu agak berlainan dengan
tempat lain.
"Punca dan masalahnya akibat sebab-sebab yang lain.
Cameron Highlands di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan..dari segi
Pati, di bawah tanggungjawab imigresen," katanya.
Mengulas lanjut mengenai serbuan yang akan dijalankan,
beliau memberitahu, jabatan itu tidak akan bergerak secara sendirian
sebaliknya akan menjalinkan kerjasama dengan pihak lain seperti Majlis Daerah
Cameron Highlands dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi penguatkuasa
lain.
Bagaimanapun katanya, pegawai-pegawai daripada jabatan ini
akan bergerak mengikut cara sendiri dan kesesuaian untuk bertindak ke atas
Pati.
"(Serbuan) Bila-bila masa, tidak kira masa dan tidak
kira siapa.
"Selagi namanya Pati, selagi menjadi tanggungjawab
Imigresen, kita akan buat," tegasnya.
Sekatat ini, jumlah pekerja asing di Cameron Highlands
yang diluluskan adalah sebanyak 11,016 orang namun terdapat dakwaan angka
pekerja asing di situ mencecah 30,000.
Daripada jumlah itu, seramai 6,057 adalah warga Bangladesh
yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pertanian (5,990 orang), perladangan
(13 orang) manakala sektor pembinaan dan perkhidmatan berjumlah 54 orang.
Baru-baru ini sebanyak 181 Pati ditahan atas pelbagai
kesalahan dalam Ops Gempak dan Mesra yang pertama kali dijalankan di tujuh
lokasi iaitu Ringlet, Lembah Bertam, Tanah Rata, Brinchang, Kampung Raja,
Tringkap dan Kuala Terla dengan melibatkan 369 pegawai dan anggota imigresen.