Translate

04/09/2014

TAHNIAH SPRM : 12 pegawai Kastam ditahan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 22 individu termasuk 12 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang disyaki terbabit dalam aktiviti rasuah dalam melepaskan barang seludup yang tidak diisytihar cukai.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Sri Mohd Shukri Abdull, kejayaan menahan mereka adalah hasil pemantauan lebih setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang.

Kata beliau, sindiket melibatkan transaksi rasuah kerana melindungi sindiket aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan kemudahan di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang.


"SPRM percaya tangkapan ini berjaya menumpaskan dalang terbesar dalam aktiviti penyeludupan rokok dan arak, yang tidak membayar duti kastam," kata beliau dalam satu kenyataan petang ini.

Seorang daripada 12 pegawai Kastam yang ditangkap adalah Pengarah Kastam negeri.

Sepuluh daripada mereka adalah pemilik syarikat dan ejen. Turut ditahan pemandu lori yang membawa barang seludup.

Operasi ini turut merampas wang tunai daripada individu terbabit dan barang yang diseludup dari gudang pelabuhan iaitu rokok dan arak. Ia diseludup keluar untuk pasaran dalam negara. Malah sebahagian barang terbabit turut dihantar untuk jualan di negara jiran secara haram.

Difahamkan nilai ketirisan akibat aktiviti lari daripada cukai ini mencecah ratusan juta ringgit.

Operasi yang dijalankan bermula semalam dilaksanakan secara bersepadu diketuai SPRM bersama pasukan petugas khas. Turut menyertai operasi khas ini ialah Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan CyberSecurity. – 3 September, 2014.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...