Kongres PKR: Wanita Kecewa Sistem
Pemilihan Banyak Masalah
SHAH ALAM: Delegasi Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) meluahkan
rasa kecewa terhadap sistem pemilihan parti berkenaan dan meminta kepemimpinan
pusat supaya segera mencari penyelesaian bagi menangani masalah itu.
Wakil Padang Serai,
Noraini Ahmad, berkata terlalu banyak masalah timbul pada pemilihan parti
baru-baru ini, termasuk proses undian, nama dan gambar pemimpin yang terlibat.
"Kami harap pemimpin
parti akan melihat semua perkara ini dan memperbaiki sistem sedia ada dan
jalankan simulasi sebelum pemilihan akan datang.
"Jika kita mahukan
ketelusan, kita perlu lakukan ujian simulasi, petugas yang tidak memihak dan
dana yang mencukupi," katanyanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua
Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin pada Kongres Nasional Ke-10 parti itu, pada Jumaat.
Noraini juga menyarankan
supaya parti itu memberi perhatian terhadap dakwaan berlakunya politik wang.
Sementara itu, wakil
Kubang Kerian yang juga ketuanya, Norhana Zalmah Mat Yusoff mengakui beliau
terkejut dengan dakwaan bahawa adanya pemimpin parti negeri yang bekerjasama
dengan kepemimpinan pusat untuk menjamin kemenangan pada pemilihan baru-baru
ini.
Memberi maklumbalas kepada
kenyataan wakil cabang Wanita, Zuraida berkata, kepemimpinan parti akan
meneliti semua perkara yang disampaikan, termasuk mengkaji pelaksanaan sistem
pemilihan baharu.
"Kami ambil berat
kejadian negatif seperti pergaduhan dan budaya samseng yang berlaku pada
pemilihan parti baru-baru ini.
"Malahan, ada yang
mencerca dan menuduh lawan untuk mendapat undi dan ada juga yang tidak kisah
menjadi boneka kepada calon tertentu," katanya.