Translate

13/08/2014

Gerakan singkir Khalid jadi senjata makan tuan?


KUALA LUMPUR - Gerakan untuk menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diterajui pucuk pimpinan PKR dilihat menjadi 'senjata makan tuan' dan berpotensi menghancurkan PR.

Penganalisis politik berkata, krisis MB Selangor itu membawa implikasi kepada PR seluruh negara, kerana ia menunjukkan sikap sebenar pucuk pimpinan dan nilai ketelusan sebuah parti dalam mencapai matlamat yang diinginkan.

Apakah kegagalan PR mencapai persetujuan dalam isu MB Selangor dengan keengganan Pas bersetuju dengan rakan sekutunya bakal menjadi punca kepada perpecahan PR seperti yang berlaku pada Barisan Alternatif pada 2001 kerana bantahan PKR dan DAP dalam isu hudud?


Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Tarmizi Talib berkata, PR tidak lagi layak mengatakan mereka adalah pemerintah Selangor, ekoran tidak boleh mencapai persetujuan dalam pemilihan ketua.

Tambah beliau PKR tersalah langkah dalam permainan mereka, kerana lawan yang dipilih adalah Abdul Khalid, individu berprinsip yang memberi keutamaan kepada rakyat tanpa mengira 'siapa yang sedang bermain atau menggerakkan buah catur' di hadapannya.

"Saya melihat niat utama Abdul Khalid bukan untuk mempertahankan kerusi MB, namun lebih utama beliau menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bagaimana tahap ketelusan yang ada di dalam PR, khususnya di dalam PKR," katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Tarmizi menambah kesilapan yang dilakukan adalah memandang rendah kemampuan Abdul Khalid dalam bidang politik memandangkan beliau lebih ke hadapan sebagai tokoh pentabiran dan pengurusan, ekoran latar belakangnya sebagai tokoh korporat.

"Abdul Khalid tak banyak bermain politik. Tapi beliau lebih kepada rakyat. Beliau tak perlu mengharapkan gaji MB kerana sudah tentu tidak setimpal dengan beban kerja. Jika wang ringgit yang menjadi keutamaan lebih baik beliau kekal dengan dunia korporatnya," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...