Translate

13/03/2014

SINDIKIT PENIPUAN WARGA INDONESIA MEREBAK KE PANTAI TIMUR

Gambar hiasan
KEJADIAN YANG SAMA PERNAH BERLAKU BERHAMPIRAN BANGUNAN AKED MARA DI BANDAR MARANG.

Rugi RM10,000 diperdaya sindiket permata palsu


JERANTUT - Seorang wanita bersama ibunya kerugian kira-kira RM10,000 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan khasiat batu permata palsu.
Sindiket yang dipercayai didalangi oleh warga Indonesia yang menyamar sebagai rakyat Brunei itu dikesan menjerat mangsa di daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail ketika dihubungi hari ini berkata, kedua-dua mangsa yang berasal dari Felda Kota Gelanggi 1, di sini itu pada mula berkunjung ke Pasar Tani untuk membeli keperluan harian sebelum didatangi oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai rakyat Brunei.
"Lelaki tersebut bertanya mengenai sebuah kedai buku di daerah ini namun mangsa menyatakan dia tidak tahu lokasinya dan suspek menyuruh mangsa bertanya kepada seorang lelaki di sebelahnya.
"Mereka berempat kemudiannya menaiki kereta Perodua Kancil milik mangsa untuk menuju ke lokasi kedai buku yang ingin ditunjukkan oleh lelaki yang tidak dikenali tadi," katanya.
Menurutnya, sebaik menghampiri kedai buku tersebut, suspek mengeluarkan batu permata dan menerangkan khasiatnya sebelum mengajak kedua-dua mangsa ke sebuah restoran makanan segera di bandar ini.
Beliau berkata, ketika berada di restoran itu, suspek telah bercerita panjang lebar mengenai khasiat sebutir batu permata berwarna merah dan dua biji lagi berwarna hitam.
"Suspek memberitahu batu permata itu mampu mengubati pelbagai penyakit dan pemakainya akan menjadi kebal.
"Setelah mendapati mangsa terpedaya dengan hujahnya, mangsa dikehendaki menyerahkan wang tunai dan barang kemas miliknya kira-kira RM10,000 dalam sebuah sampul berwarna coklat untuk dijampi.
"Suspek kemudian menyerahkan bekas berisi batu permata dan sampul surat tersebut dan meminta mangsa membukanya di rumah," ujarnya.
Azid memberitahu, sebaik tiba di rumah, mangsa terkejut melihat sampul surat tersebut hanya berisi duit syiling dan keratan surat khabar lama manakala semua wang dan barang kemas telah lesap.
"Mangsa yang menyedari dirinya tertipu telah melaporkan kejadian tersebut di balai polis dan siasatan kini giat dijalankan bagi mengesan suspek," jelasnya.
Sehubungan itu, Azid menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sapaan orang yang tidak dikenali terutama warga asing lebih-lebih lagi menawarkan sesuatu bagi mengelak tertipu.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket ini diminta menghubungi balai polis berhampiran dalam usaha membanterasnya daripada terus berleluasa. - KOSMO!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...