PETALING JAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini
meminta pengarang majalah mingguan Katolik 'The Herald', Paderi Lawrence Andrew
supaya menghormati keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam
kitab Injil berbahasa Melayu.
Beliau menegaskan paderi itu perlu menghormati sensitiviti masyarakat
Islam di negara ini sebagaimana umat Islam menghormati agama lain.
"Yang rujuk kes ini ke mahkamah adalah mereka tapi bila mahkamah
buat keputusan mereka tak peduli. Apa jadi kalau masyarakat tak hormat
keputusan mahkamah?
"Penggunaan kalimah ALLAH di Sabah dan Sarawak telah lama, tak
apalah, tapi di sini apa sebab tiba-tiba nak gunakan?" soal Dr Mahathir
ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada seminar
Pengarah-pengarah Korporat Tabung Haji (TH) di Kelana Jaya di sini.
Beliau mengulas kenyataan Lawrence 27 Dis lepas bahawa gereja Katolik di
Selangor akan terus menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya
dalam bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghantar
notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.
Kenyataan beliau telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak dan umat
Islam terutama di Selangor dan semalam Lawrence menegaskan tidak akan memohon
maaf seperti yang didesak oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
termasuk Umno Selangor dan Perkasa atas pendiriannya itu.
Dr Mahathir mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang
aman walaupun mempunyai rakyat pelbagai agama serta kaum, dan ini perlu
dikekalkan dengan mengelak melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti agama
lain.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai bantahan pengwujudan cawangan
Hard Rock Cafe di Putrajaya, bekas perdana menteri itu berkata, tidak timbul
sebarang masalah jika premis hiburan diwujudkan di Putrajaya kerana ia bukan
bandar keagamaan tetapi sebuah bandar pentadbiran.
"Manusia ini berkehendakkan hiburan. Kalau kata tak boleh minum
arak dalam Putrajaya saya pun tak ada apa-apa, tapi sampai tak ada hiburan ini
susahlah," katanya.
Media melaporkan kemungkinan cawangan Hard Rock Cafe dibuka di
Putrajaya, bandar pentadbiran cetusan ilham Dr Mahathir, susulan perbincangan
mengenainya antara Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat dan ahli
perniagaan Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir.
Ditanya sama ada beliau bersetuju jika Hard Rock Cafe diwujudkan di
Putrajaya, Dr Mahathir menjawab: "Bukan bersetuju Hard Rock Cafe tu. Saya
bersetuju supaya ada hiburan di situ. Tapi kalau kita nak larang jual arak itu
terpulang kepada mereka (pihak berkenaan)."
Aseh bagaimanapun dilaporkan sebagai menjelaskan tiada permintaan rasmi dikemukakan mengenai cadangan pembukaan pusat hiburan itu.
Aseh bagaimanapun dilaporkan sebagai menjelaskan tiada permintaan rasmi dikemukakan mengenai cadangan pembukaan pusat hiburan itu.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata TH adalah sebuah entiti
unik yang tiada tandingan di dunia dalam soal mengumpul wang rakyat untuk
membolehkan mereka menunaikan ibadat haji. - Bernama