Dakwat kekal yang diperbuat daripada nitrat perak masih kekal di jari telunjuk salah seorang pengundi awal walaupun cuba dibersihkan menggunakan larutan thinner selepas proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-13 di Putrajaya pada Selasa. Dakwat kekal yang digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya kali ini dikenal pasti mampu kekal antara tiga hingga tujuh hari selepas dicalit pada kuku atau kulit kerana bahan nitrat perak itu terus menyerap ke dalam kulit serta kuku sebaik dicalit.-fotoBERNAMA |
KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memberi jaminan bahawa dakwat kekal yang dicalitkan di jari pengundi pada Ahad ini tidak boleh hilang 100 peratus.
Tidak kira bagaimana anda berusaha untuk membersihkan dakwat di jari anda itu, ia masih kelihatan sedikit di atas kulit.
"Saya yakin ia tidak mungkin dapat dibersihkan 100%. Dakwat itu diperbuat daripada nitrat perak. Mungkin seseorang boleh mengikis dakwat pada kuku mereka tetapi ia masih boleh kelihatan di atas kulit sekitar kuku.
Malah jika seseorang dapat mencuci dakwat tersebut, beliau berkata, adalah mustahil untuk individu tersebut mengundi sebanyak dua kali.
"Sebaik saja seorang invidivu mengundi, namanya akan dipotong dari senarai daftar pengundi. Jadi, tiada cara bagi sesiapa saja untuk mengundi dua kali," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan di Internet kononnya beberapa pengundi yang mengundi awal boleh membersihkan dakwat tersebut dari jari mereka.
Wan Ahmad berkata, beliau memantau beberapa pengundi yang cuba membersihkan jari mereka dengan kertas tisu sebaik saja dakwat tersebut dicalitkan.
"Mereka mungkin mengelap sedikit dakwat tersebut kerana ia tidak kering sepenuhnya. Saya mencadangkan supaya SPR tidak menyediakan kertas tisu di pusat mengundi pada 5 Mei nanti," katanya.