Translate

08/10/2012

Usah salahkan lelaki sahaja

KUALA LUMPUR: “Saya banyak menerima kes suami mempunyai perempuan simpanan. Kita tidak boleh salahkan lelaki sepenuhnya kerana dalam kes tertentu, si isteri terikat dengan kerjaya atau terlalu sibuk menguruskan perniagaan.

“Ini menyebabkan layanan isteri kepada suami menjadi hambar dan membuatkan si suami tergerak untuk mencari perempuan lain dan ‘menyimpan’ mereka,” kata kaunselor berdaftar, Hushim Salleh.

Hushim berkata, sesetengah masalah pula datang daripada isteri yang tidak membenarkan suami berkahwin lain.

“Jika suami mampu daripada segi kewangan dan boleh memikul tanggungjawab, kenapa tidak benarkan mereka berkahwin lain? Ini lebih baik daripada mereka terus menerus melakukan zina dan dosa besar.

“Seperti kebanyakan kes yang saya kendalikan, si suami mampu berkahwin lain. Bagaimanapun, kerana sayangkan isteri pertama dan terpaksa mengikut kehendaknya yang tidak membenarkan suami berkahwin lagi, membawa golongan Adam ke lembah maksiat,” katanya.

Selain itu, statistik menunjukkan masalah sosial itu yang boleh meruntuhkan sistem perkahwinan wujud pada 2000 dan ia berlanjutan sehingga kini.

Menurut Hushim, apabila zaman semakin moden, masalah sosial yang sukar dibendung seperti ini akhirnya menjadi ikutan atau ‘trend’ bagi golongan berada.

“Pada pendapat saya, masalah menyimpan wanita menjadi seperti trend bagi golongan ini. Apabila seorang daripada kenalan mereka ada teman wanita, rakan lain tidak mahu mengalah. Ini terjadi apabila ego si lelaki melebihi imannya.

“Tidak salah jika saya katakan mereka lebih mengutamakan dunia dan bukan akhirat gara-gara iman yang nipis. Namun, tidak semua usahawan atau orang kaya mempunyai tabiat seperti ini,” katanya.

Hushim berkata, semestinya perbuatan seperti ini dosa besar yang harus dielakkan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...