Pas cabar buat kenyataan undi UMNO dapat pahala
KOTA BHARU 29 Jun - Pas mencabar UMNO membuat kenyataan mengundi parti itu atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan dikira sebagai amal soleh dan mendapat pahala sama seperti yang dinyatakan Pas kepada penyokongnya.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, jika UMNO percaya perjuangannya selari dengan apa yang dikehendaki Islam, maka tidak ada salahnya untuk parti itu membuat dakwaan seperti Pas.
Katanya, ini kerana segala amalan yang dilakukan manusia di dunia ini berkait dengan soal dosa dan pahala.
Menurut beliau, tohmahan terhadap kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang menyebut 'undi Pas dapat pahala' sebagai ajaran songsang adalah kerana UMNO kurang dalam ilmu agama.
"Kami tidak akan marah jika UMNO juga mahu mengatakan mengundi parti itu akan dapat pahala, jika yakin perjuangan mereka berlandaskan Islam, maka beritahulah begitu kepada rakyat.
"Kami dalam Pas yakin perjuangan kami adalah perjuangan Islam dan semua yang dilakukan mengikut al-Quran dan sunah, jadi apa salahnya kami kata undi Pas dapat pahala kerana semua perkara, politik, sosial, ekonomi, kebudayaan tidak boleh dipisahkan daripada Islam," katanya.
Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, dakwaan Pas tidak mengakui langsung kebaikan dan manfaat dibawa UMNO kepada negara dan rakyat adalah tidak benar.
Katanya, ini kerana Pas menyokong semua perkara baik seperti penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan hanya mengkritik dasar UMNO serta kerajaan pusat yang tidak betul.
Beliau diminta mengulas kolum 'Dari Jendela Tok Ki' yang disiarkan Utusan Malaysiasemalam, yang mengkritik beberapa perkara seperti keengganan Pas mengiktiraf kebaikan UMNO, ceramah politik dalam masjid dan surau, ceramah Pas yang berbaur fitnah dan kerjasama Pas dengan DAP sekali pun parti itu menolak negara Islam.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, parti itu tidak pernah menganjurkan program atau ceramah di masjid sebaliknya perkara tersebut mungkin dilakukan ahli jawatankuasa masjid dan penyokong Pas atas kapasiti peribadi.
"Parti sendiri sudah ada ceramah politik, platform politik, itu ceramah Pas yang sebenar, yang dalam masjid pula mungkin kebetulan orang itu orang Pas, simpati kepada Pas, dia menyokong Pas, maka dia bercakap tapi bukan kita yang anjur," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mencabar individu-individu yang disebut dalam ceramah Pas terbabit supaya menyaman penceramah sekiranya ia tidak benar dan berunsur fitnah.
Sumber:utusan