Translate

17/07/2012

Jangan tertipu maklumat di internet

Dalam dunia kemajuan teknologi maklumat semua pihak terutama pelajar lepasan kolej diseru agar lebih berhati-hati menilai maklumat yang mereka perolehi melalui internet samada ianya benar atau tidak benar.

Pengerusi Kolej Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menegaskan para graduan tidak seharusnya tertipu dengan maklumat yang tidak benar serta mengelirukan dalam dunia internet.

Syed Ali berkata demikian ketika berucap di majlis Konvokesyen Kolej YPC di Cheras, pada Ahad dimana 111 orang pelajar menerima diploma sempena majlis tersebut.

Kata Syed Ali, “kejayaan yang telah dicapai pada hari ini adalah merupakan langkah awal kepada perjalanan yang lebih penting. Saya amat berharap para pelajar akan mengambil inisiatif untuk menilai apa juga informasi yang kita lihat dalam internet.”

Beliau seterusnya berharap para graduan tersebut merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga meminta para graduan supaya tidak lupa berterima kasih dan mengenang budi ibubapa dan pensyarah kerana merekalah dibelakang yang memberi sokongan sehingga graduan dapat menempa kejayaan.

Sementara itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang menjadi tetamu kehormat di majlis tersebut berucap kepada graduan meminta mereka menterjemahkan huruf YPC itu kepada Yakin Prestasi Cemerlang.


Ini kerana, kata Tsu Koon, “kita berada dalam satu zaman yang penuh dengan cabaran tetapi juga penuh dengan peluang dan penuh dengan kemungkinan maka apa yang penting kita mesti memperolehi kemahiran yang sesuai supaya dapat menerokai peluang pekerjaan apabila masuk ke dalam pasaran kerja nanti.”

Beliau juga menaruh penuh keyakinan terhadap kepimpinan YPC yang begitu prihatin pada anak Malaysia tanpa mengira kaum.

Kata Tsu Koon, “kalau kita setengah matang, tidak berkemahiran dan kalau sikap kita tidak betul manakah kita dapat mendampingi rakyat, manakah kita dapat capai sasaran menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tak sampai lapan tahun ini.”

“Saya harap para graduan dapat membawa semangat YPC (Yakin Prestasi Cemerlang) ini ke dalam dunia kerjaya dengan mengikut falsafah menghormati dan mengemari pekerjaan itu,” tegas beliau.

Bagi mereka yang mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, Tsu Koon berkata, “saya ingin berpesan bahawa pembelajaran itu merupakan komitmen seumur hidup khasnya dalam teknologi maklumat.”

“Terus belajar, perolehi kemahiran dan bersikap positif untuk membezakan yang benar dengan yang tidak benar melalui penelitian sendiri terhadap apa yang kita perolehi dan untuk lebih menyakinkan, lebih baik berbincang dengan orang lain.” ujarnya.-15/7/2012

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...