Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr.
Sulaiman Saloomi (gambar) menegaskan, fatwa propaganda yang mengatakan
seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah
suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Menurut Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul
Qura, Mekah itu, ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang
berakal, lebih-lebih lagi dari seorang muslim yang peka dirinya diawasi
Allah dalam setiap percakapan serta perbuatan.
Jelas beliau, syurga adalah nikmat, rahmat dan kelebihan yang
dikurnia Allah kepada sesiapa yang dapat melaksanakan tuntutan ubudiyah
bukan kepada mana-mana pengundi manakala neraka pula adalah azab Allah
ke atas mereka yang sesat, kufur atau syirik.
''Bahkan ia adalah bidaah dari Barat (iaitu kepartian). Ia tidak
wujud pada umat Islam dalam kurun terawal (zaman Rasulullah SAW, para
sahabat dan at-tabiin),'' katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.
Sulaiman yang kemudiannya ditanya tentang seruan pemimpin parti
tertentu terhadap kepelbagaian agama dan mengatakan semua agama adalah
sama berkata, pendapat itu adalah kufur dan golongan yang berpegang
dengan pendapat sedemikian di zaman silam ialah Ikhwan Safa.
Mereka ini katanya, terdiri di kalangan Syiah Batiniyah yang muncul
di abad ketiga Hijrah serta telah dihukum kafir oleh semua ulama Hanafi,
Shafie, Maliki dan Hambali kerana berkata secara literal bahawa :
''Pandangan kami mencakupi semua mazhab dan agama kami mencakupi semua
agama.''
''Pendapat itu adalah suatu kekufuran kerana agama yang sebenarnya di
sisi Allah ialah Islam sahaja dan tiada agama lain yang setanding
dengannya. Pada zaman moden ini lahir doktrin Freemason yang menyeru
supaya mengingkari semua agama atau menyeru kepada penyatuan semua agama
dalam satu mazhab.
''Ini adalah perbuatan murtad dan keluar dari agama Allah,'' tegas beliau.
Mengenai usaha menumbangkan kerajaan sedia ada di negara ini serta
menyeru supaya diadakan demonstrasi jalanan, katanya, usaha itu bukanlah
jalan kedamaian.
''Agama rasmi Malaysia adalah Islam dan syiar Islam (di negara ini)
adalah nyata. Maka adalah menjadi kewajipan untuk nasihat menasihati dan
membuat perdamaian. Ini adalah Manhaj (Prinsip Dasar) Nabi Muhammad
SAW.
''Manakala demonstrasi jalanan adalah meniru perbuatan Barat yang
jauh lebih banyak mendatangkan kerosakan dan kemudaratan ke atas umat
Islam daripada kebaikan yang diharapkan,'' jelasnya.
Sementara itu, Sulaiman ketika memberi reaksi terhadap kaedah kafir
mengkafir yang digunakan oleh sesetengah orang Islam dan ahli politik
untuk memancing undi berkata, ia tidak dibenarkan terutama jika
digunakan terhadap seorang muslim yang masih lagi mengamalkan amalan
Islam yang zahir serta masih mengucap dua kalimah syahadah.
Katanya, sesiapa yang menggunakan pendekatan itu terhadap umat Islam
maka tuduhan tersebut akan kembali kepadanya sebagaimana yang telah
disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud : ''Sesiapa yang berkata kepada
saudara Islamnya 'Wahai Kafir' tuduhan itu akan kembali kepadanya.''
''Adalah menjadi suatu kewajipan ke atas setiap muslim untuk berbaik
sangka dengan saudara seIslam dan bergaul dengan cara yang baik,''
jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan seseorang muslim tidak dibenarkan
untuk bersepakat dengan mana-mana orang bukan Islam dalam apa jua
keadaan sekalipun untuk menentang saudara seagama.
Kata beliau, sejarah dengan jelas telah membuktikan minoriti bukan
Islam tidak akan mengundi untuk parti Islam melainkan jika parti Islam
itu berkompromi sesuatu dari agama dan perbuatan tersebut boleh
mendatangkan bahaya besar kepada umat Islam.
Sumber:utusan