Translate

04/02/2012

PRU-13: Pas terus canang taktik lapuk burukkan UMNO

Image Detail
Pas ketandusan modal untuk menghadapi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila terus mencanang taktik lapuknya dengan memburuk-burukkan parti itu bagi menarik sokongan rakyat.

Seperti lazimnya, pemimpin Pas tidak melepaskan peluang mengguna platform sesi penerangan di serata negeri untuk menabur fitnah kononnya UMNO yang menjadi tunggak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak Islamik.

Pada majlis pelancaran 'Road Show' Anak Muda Tolak UMNO (AMTU) di pekarangan pasar Peringat di sini malam tadi, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus mengulangi tuduhan kononnya UMNO menolak Islam dan tidak pandai membaca al-Quran.

"UMNO tolak Islam. Hendak baca al-Quran pun tak pandai," katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Majlis tersebut bagaimanapun dilihat gagal membuktikan kejayaan Pas menarik golongan muda apabila daripada kira-kira 700 penyokong yang hadir, hanya 30 peratus kelihatan golongan berkenaan.

Difahamkan, pelancaran AMTU adalah bagi menarik pengundi muda selepas menyedari kebanyakan golongan tersebut tidak menyebelahi Pas di samping kehilangan ramai penyokong bukan Melayu sejak kebelakangan ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Amar mengakui, PRU-13 adalah penting bagi kedua-dua parti yang dikatakan memperjuangkan agenda Islam dan Melayu iaitu UMNO dan Pas dalam menentukan hala tuju masa depan bangsa dan negara.

Justeru katanya, Pas perlu mengambil serius dengan menggunakan segala kebolehan dalam apa cara sekalipun bagi mempertahankan negeri ini khususnya daripada dirampas BN.

Senada dengan Nik Abdul Aziz, beliau terus mencanangkan bahawa rakyat tidak perlu berbangga dengan pembangunan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan elektrik memandangkan Islam mesti diutamakan.

"Jalan raya, jambatan, sekolah dan elektrik semua itu bukan utama. Datuk nenek kita dulu tiada pembangunan apa pun tetapi boleh juga hidup. Orang boleh hidup dengan tidak ada sekolah, tapi tak boleh hidup tanpa agama," katanya.

Namun, Mohd. Amar tidak pula menafikan kepentingan kemudahan tersebut buat rakyat keseluruhannya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...