Translate

03/02/2012

Datuk Seri Azizan Abdul Razak belot kepada Pakatan Rakyat

Image Detail

Datuk Seri Azizan Abdul Razak ternyata tidak gentar dengan kritikan sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengenai tindakan beliau tidak mematuhi apa terkandung dalam Buku Jingga yang dikeluarkan pakatan itu.

Ia terbukti apabila hari ini, Menteri Besar Kedah itu secara terbuka berkata, pelaksanaan apa yang terkandung dalam buku itu yang juga manifesto Pakatan Pembangkang bergantung kepada kesesuaian sesuatu negeri.

Sehubungan itu beliau menegaskan, terdapat perkara-perkara dalam buku manifesto berkenaan yang perlu ditangguh pelaksanaannya sehingga suasana mengizinkan dengan mengambil kira keadaan politik dan masyarakat setempat.

“Kita menghormati Buku Jingga tetapi ada benda-benda yang kadang-kadang kita boleh guna sekarang dan yang tak boleh lagi sebab setiap negeri itu ada masalah tertentu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini.

Sebelum ini Azizan dikritik oleh pemimpin kedua-dua parti itu kerana didakwa tidak mematuhi apa yang terkandung dalam Buku Jingga berhubung isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) baru-baru ini.

Ia memandangkan mereka membuat tafsiran bahawa Azizan yang juga Pengerusi KUIN mengambil tindakan berlandaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) manakala dalam Buku Jingga dicadang dimansuhkan jika pembangkang memerintah negara.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, tindakan tidak mematuhi sebahagian kandungan Buku Jingga bukan bererti beliau menolak buku tersebut tetapi berpendapat janji-janji dalam buku itu lebih sesuai dilaksanakan jika pakatan pembangkang memerintah negara.

“Sebagai contoh, dalam al-Quran, hukum mencuri adalah potong tangan tetapi terdapat juga kes pada zaman dahulu pencuri tak dipotong tangan kerana tahun itu berlaku kebuluran, jadi maknanya tak melaksanakan hukum itu bukan bererti menolak al-Quran tetapi mengambil kira suasana untuk memberi keadilan,” jelasnya.

Justeru, beliau telah menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pada masa sama akan menghantar pegawainya ke Kuala Lumpur untuk menjelaskan isu penggantungan pelajar KUIN itu kepada Pas Pusat.

Sementara itu, kata Azizan, terserah kepada pucuk pimpinan Pas Pusat sama ada memilih beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 atau sebaliknya.
Pesuruhjaya Pas negeri itu berkata, jika Pas Pusat tidak mahu beliau bertanding lagi menjadi calon pilihan raya maka beliau akan akur dan berhenti daripada memegang jawatan.
“Itu hak Pas Pusat dan pemimpin di atas, kalau tak beri bertanding maka saya berhenti tetapi selagi saya di sini maka saya buat kerja macam biasa,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...