Selasa, 21 Februari 2012

Malaysia dalam bahaya jika sokong Israel

Image Detail
Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong sebarang usaha bagi menjamin keselamatan Israel dilihat mampu membahayakan negara ini pada masa depan.

Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Shukri Suib berkata, adalah sesuatu yang malang buat individu yang menganuti agama Islam tetapi bertindak mengiktiraf kewujudan Israel.


Menurutnya, kerajaan perlu bertindak untuk mengenal pasti tujuan sebenar kenyataan Anwar itu bagi menentukan sama ada ia mengandungi muslihat tertentu.

''Pihak berkuasa yang berkaitan perlu menyiasat sama ada Anwar membuat kenyataan itu bagi meraih sokongan material daripada Israel kerana saya rasa, ia pasti bertujuan mendatangkan manfaat kepada beliau," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pendirian Anwar menyokong keselamatan Israel itu disiarkan oleh akhbar The Wall Street Journal(WSJ) pada akhir bulan lalu.

Selain itu, kata Shukri, tindakan Anwar dilihat menyerupai taktik yang digunakan Mustapa Kamal Al-Tarturk untuk meruntuhkan zaman Empayar Usmaniah di Turki satu ketika dulu malah sehingga hari ini, kerajaan negara itu masih mengiktiraf kedaulatan Israel.

Tegas beliau, tindakan Anwar menyokong keselamatan Israel sama seperti beliau mengiktiraf kedaulatan negara itu.

Beliau turut mencadangkan pada sidang Parlimen akan datang agar diusulkan sokongan kepada Palestin dan mendesak Anwar menjelaskan kepada rakyat negara ini mengenai kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu, Pensyarah Perhubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya. Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, rakyat harus menolak fahaman songsang Anwar itu kerana ia jelas bertentangan dengan pendirian Malaysia.

''Kenapa beliau menyatakan perlu mempertahankan Israel sedangkan negara itu sudah dilindungi sekutu mereka iaitu Amerika Syarikat (AS) dan kuasa Britain.
''Kita sepatutnya mempertahankan rakyat Palestin. Pada saya, Anwar sudah membuat kesilapan yang besar," kata beliau.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...