Translate

26/02/2012

Dari hari pertama mereka buat kacau - Azizan


ALOR SETAR 24 Feb. - Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengakui ada pihak cuba membuat kacau dan menimbulkan spekulasi mengenai kepimpinannya sejak hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya umum lalu.

Beliau yang tidak mendedahkan siapa pihak tersebut berkata, usaha itu bagaimanapun tidak melemahkan pentadbirannya dan masih mampu bertahan sehingga sekarang.


"Hari pertama saya menjadi menteri besar, macam-macam dia orang kacau dan buat spekulasi, tetapi Alhamdulillah kami masih ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Sinar Sejahtera @ Pekan Rabu di sini malam ini.

Ditanya sama ada beliau mengetahui siapa dalang di sebalik tindakan berkenaan, Azizan berkata: "Saya tahu pun tidak apa, tak tahu pun tidak apa.. lebih senang kalau tidak tahu."

Beliau mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan beberapa Exco Kedah enggan hadir pada majlis pelantikan Exco kerajaan negeri penghujung bulan ini.

Azizan berkata, beliau tidak tahu sejauh mana kebenaran khabar angin berkenaan dan ia mungkin boleh menjadi benar atau sebaliknya.

"(Kalau betul) biasalah.. kalau betul kita buat cara betul, kalau tak betul kita buat cara tak betul. Saya ada masa tiga (hingga) empat hari lagi sebelum majlis itu," katanya.

Menurutnya, senarai nama barisan Exco yang bakal dilantik telah dihantar kepada Sultan Kedah untuk mendapat perkenan baginda dan dijangka diperolehi semula Ahad ini.

Katanya lagi, dia tiada masalah dengan kesemua 10 Exco Kedah dan sebagai ketua pentadbiran kerajaan negeri, beliau sentiasa berhubung dengan mereka.

Bahkan katanya, beliau menaruh kepercayaan penuh kepada setiap Exco yang dilantik.

"Saya percaya penuh Exco, saya sayang mereka, tiada prejudis terhadap mereka," katanya.

Diminta memberi bayangan barisan Exco yang bakal dilantik, Azizan enggan mendedahkan perkara itu tetapi menyifatkan apa sahaja boleh terjadi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...