Translate

26/02/2012

Iran menghitung hari? Melenyapkan Amerika Syarikat di peta dunia ??


FILEM Hollywood bertajuk Salt lakonan Angelina Jolie merupakan antara beberapa filem pecah panggung (blockbuster) yang menyebut tentang Iran sebagai pemangkin dan titik akhir kemarahan umat Islam terhadap dunia Barat.

Jika berlaku sebarang serangan oleh kuasa Barat terhadap Iran mahupun Mekah di Arab Saudi, umat Islam seluruh dunia dijangka bangkit dalam memulakan perang jihad berdarah yang akan melenyapkan Amerika Syarikat (AS) dari peta dunia.


Melihatkan ia sinopsis sebuah filem Hollywood, tiada penonton yang akan mengambil peduli kebarangkalian semua itu akan berlaku.

Namun, melihatkan situasi semasa Iran yang ditekan Barat terutama AS yang 'dikawal' Israel, mungkinkah apa yang dimainkan pembikin filem itu menjadi kenyataan dalam masa terdekat?

Semuanya bermula dengan rancangan Iran membangunkan reaktor nuklear untuk tenaga elektrik yang menimbulkan ketakutan Israel terhadap kemungkinan sebuah negara Arab mempunyai senjata nuklear dan mengancam kewujudan negara haram mereka.

Menggunakan bonekanya iaitu AS, Israel mula menekan Iran melalui sekatan antarabangsa dan juga disyaki bertindak membunuh beberapa orang saintis Iran yang terlibat dalam projek loji nuklear tersebut.

Selepas kejadian terbaru pembunuhan seorang saintis nuklear yang dikaitkan dengan Israel baru-baru ini, beberapa kejadian serangan ke atas diplomat dan Kedutaan Israel pula dilaporkan media Barat berlaku di beberapa negara termasuk Thailand.

Walaupun disangkal Tehran, pihak berkuasa negara terbabit dikatakan telah berjaya menahan beberapa orang suspek warga Iran.

Kejadian yang menimbulkan keraguan sesetengah pihak dari segi kaedah serangan dan bilangan yang cedera atau terbunuh itu dilihat seolah-olah sebagai taktik bagi menutup perbuatan membunuh saintis Iran serta menghalalkan agenda tindakan ketenteraan oleh Israel terhadap Iran dengan bantuan sekutu-sekutunya di Barat.

Jika benar, ia bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Israel didakwa pernah menghantar jet perang yang menyamar sebagai jet tentera Arab menyerang sebuah kapal tentera AS di Teluk ketika mereka mula merampas tanah Palestin dahulu bagi 'mendorong' serangan nuklear AS terhadap sebuah negara Arab.

Rancangan itu gagal tetapi tiada siasatan dilakukan walaupun tentera AS yang terselamat dalam kejadian serangan itu memohon siasatan dengan kerajaan mereka, mungkin demi melindungi Israel yang ketika itu baru 'bercambah'.

Sebagai tindak balas terhadap pelbagai tekanan dan sekatan terbaru Barat ke atas Tehran, pentadbiran Iran minggu ini telah memilih untuk menghentikan penjualan dan penghantaran minyaknya ke beberapa negara utama Kesatuan Eropah (EU) terutama Britain dan Perancis.

Beberapa negara EU lain juga mungkin menerima nasib sama jika terus berkeras dengan Iran sementara minyak tersebut pula dikatakan telah mempunyai pembeli baru dari negara-negara membangun di Asia.

Walaupun kebanyakan negara Eropah melihat tindakan itu hanya simbolik kerana mereka hanya mengimport sebahagian kecil minyak dari Iran, namun kesannya ke atas pasaran dikhuatiri akan memaksa harga minyak melonjak mencecah AS$150 (RM452.70) setong.

Sebelum ini, Iran telah mengugut untuk menutup laluan ke Terusan Hormuz yang menjadi laluan penting kapal laut ke rantau Teluk terutama untuk pemindahan minyak mentah dari negara-negara Arab tetapi akhirnya memilih untuk tidak meneruskan langkah tersebut.

Taktik tarik tali antara Iran dengan Barat yang kononnya berpunca daripada cita-cita nuklear Tehran itu dikhuatiri mencapai kemuncaknya tidak lama lagi memandangkan pergolakan di Syria dan negara-negara Arab yang melemahkan sokongan terhadap Iran terutama jika langkah ketenteraan digerakkan Israel dalam masa terdekat.

Walaupun AS dan Britain secara terbuka menegaskan tidak akan menyokong membenarkan Israel menyerang Iran, namun ramai pemerhati dunia yakin tindakan ketenteraan tetap akan diambil, cuma bergantung kepada tempoh sesuai untuk melancarkan serangan.

Gerakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Barat dan seluruh dunia bagi memaksa AS dan kuasa tentera dunia supaya mengelakkan serangan ketenteraan terhadap Iran, telah pun bermula beberapa tahun lalu sejak Tehran mengumumkan pembinaan loji tenaga kuasa nuklear tersebut.

Kebanyakan anggota yang menentang kaedah ketenteraan itu merupakan para saintis yang bimbang serangan ke atas loji nuklear Iran akan menyebarkan bahan radioaktif ke atmosfera seluruh dunia.

Dengan parut luka atas penjajahan Iraq dan Afghanistan masih bernanah di hati umat Islam, serangan ke atas Iran mungkin akan menjadi pencetus amarah dan tindak balas keras yang tidak dijangka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...