Translate

07/01/2012

10 syarat 'kawal' perhimpunan 901, ucapan dilarang

lokasi perhimpunan new

SHAH ALAM - Polis mengenakan 10 syarat ke atas penganjur perhimpunan 901 Isnin ini, antara lain melarang sebarang ucapan awam manakala para peserta dikehendaki meninggalkan kawasan mahkamah dalam tempoh sejam sebaik keputusan kes liwat diketahui.

Syarat-syarat itu terkandung dalam kenyataan media diedarkan menerusi laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Polis Kuala Lumpur semalam membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta di luar pekarangan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta.
"Bahawasanya Ketua Polis Daerah Sentul setelah menimbangkan faktor-faktor keselamatan dan ketenteraman awam mengenakan syarat-syarat berikut kepada pihak penganjur serta peserta Perhimpunan 901 yang akan berlangsung pada 9 Januari 2012 di parkir awam (Kompleks) Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta," kata kenyataan itu.


Selain penganjur dan peserta tidak dibenarkan menggunakan risalah dan kain rentang dengan 'tagline' Bebaskan Anwar 901 atau Bebaskan Anwar.

Syarat-syarat lain ialah:

- Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud hailer’ tidak dibenarkan. Penggunaan dua 'loud hailer' dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.

- Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.

- Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di parkir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.

Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta-peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan parkir mahkamah.

- Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekiranya perlu.
- Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.  

Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.  

- Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Bernama memetik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melaporkan keputusan polis membenarkan penyokong Anwar, Ketua Pembangkang, mengadakan perhimpunan Isnin ini adalah berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen bulan lalu.

Justeru, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menguruskan dan memastikan perhimpunan berkenaan berjalan dengan aman.

Beliau berkata penganjur perhimpunan itu juga bertanggungjawab untuk menjamin bahawa perhimpunan itu dan tidak akan menimbulkan kacau-bilau atau huru-hara.

"(Perhimpunan) ini kuasa yang telah diperuntukkan oleh Parlimen, akta yang diluluskan baru-baru ini memberi peluang kepada rakyat jelata mengadakan perhimpunan secara aman.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa keselamatan tetapi mungkin ada beberapa syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak yang terlibat," katanya.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan berkenaan kes Anwar yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...