Translate

10/12/2011

MCA Jadi Broker Damai Di Antara PAS dan DAP?

Post Pic

Mengapa PAS masih enggan memasukkan agenda melaksanakan hukum Islam dalam manifesto perjuangan Pakatan Rakyat untuk pilihanraya umum ke-13 yang semakin hampir kini? Sebaliknya, mengapa pula di belakang DAP, PAS mengulang ikrar bahawa ia tetap akan melaksanakan hukum Islam keseluruhannya tetapi “mengikut peringkat” ?

Di samping itu, mengapa pula DAP yang selama ini menjadi jaguh gerakan menentang pelaksanaan hukum Islam tiba-tiba bersikap lebih sopan dan tidak membantah ketegasan PAS ? Apakah DAP bimbang ia boleh mengancam kerjasama kedua-dua parti itu dengan sebuah lagi parti kerabatnya, PKR ?

PAS hanya memilih untuk mengisytiharkan ketegasannya di dalam kawasan kuatnya di Terengganu berhubung isu hukum Islam ini. Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang berkata, PAS tetap melaksanakan hukum Islam apabila Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya umum yang kini berada di ambang mata.
Selepas bersilang hujah berhubung isu hudud, PAS dan DAP kini kelihatan cuba menenangkan penyokong masing-masing dengan mengulangi pendirian tegas mereka dalam isu ini tetapi  “tanpa perlu memasukkan isu itu dalam manifesto Pakatan Rakyat”.
Selagi isu ini kelihatan tidak ada penyelesaian yang tuntas dan tegas ia tetap menjadi api dalam sekam perhubungan PAS dan DAP. Ia juga pasti mengelirukan pengundi dan secara langsung atau tidak akan meninggalkan kesan pada prestasi Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum kelak.
Apapun, kini nampak semakin jelas kecurigaan mulai menyelinap dalam gabungan Pakatan Rakyat, terutama di antara PAS dan DAP. Sebab itu, kedua-dua pihak seolah-olah cuba menjarakkan diri daripada membuat sebarang komentar yang boleh melemahkan semangat serta mengecewakan penyokong masing-masing.
Namun PAS bercakap lantang di hadapan khalayak penyokongnya bahawa ia akan tetap melaksanakan hukum-hukum Islam selepas pilihanraya umum ke-13 akan datang. Presidennya, Datuk Seri Haji Hadi Awang menegaskan pelaksanaan hukum Islam oleh PAS akan bermula setidak-tidaknya di Kelantan dan Terengganu.
Rasional Haji Hadi ialah, di kedua-dua negeri berkenaan enakmen mengenai perundangan Islam sudahpun diluluskan. Kini ia hanya menunggu masa untuk dilaksanakan. Sekaligus kenyataan Haji Hadi itu membayangkan tahap keyakinan PAS akan menambah sekurang-kurang satu lagi kerajaan negeri di bawah PAS selepas PRU ke-13 kelak.
Memang sewajarnya PAS menampilkan darjah keyakinan diri yang tinggi. Trend politik hari ini nampaknya condong pada mengatakan Pakatan Rakyat akan menang pilihanraya umum ke-13. Lantaran itu, kerajaan negeri Kedah yang kini di bawah teraju PAS dengan yakin menyatakan ia juga akan melaksanakan hukum Islam selepas Kelantan berbuat demikian. Ini bukan impian tetapi satu keyakinan.
Sementara itu DAP pula kini bersusah payah mengelak daripada berbicara tentang hudud secara terbuka. Maka ia pun lebih menumpukan perhatian untuk memberi penjelasan secara senyap pada pengikutnya sahaja. Ini kerana seperti PAS, DAP juga mahu tetap berusaha bersungguh-sungguh membuktikan ketegasannya bahawa ia tidak mahu pelaksanaan hukum hudud di mana-mana negeri di Malaysia sekalipun menjadi realiti.
Persoalannya sekarang, apakah kempen penerangan DAP itu meliputi parti-parti bukan Melayu lain; termasuk yang di dalam gabungan Barisan Nasional?
Sama ada sengaja atau tidak, sikap MCA, parti Cina dalam gabungan Barisan Nasional pula kelihatan seolah-olah mahu membuka jalan agar DAP dapat keluar daripada jebak politik hudud yang pastinya mengusik sensiviti rakyat Melayu-Islam di Malaysia.
Dengan bertindak menganjurkan forum khas berhubung implikasi pelaksanaan hukum hudud ke atas rakyat bukan Islam di ibupejabat MCA hujung minggu lalu,  MCA benar-benar membantu DAP agar cepat-cepat undur dari kemelut hudud yang dicetuskan oleh DAP sendiri.
Apakah ini satu sandiwara yang mahu menghalakan keresahan dan kemarahan orang Melayu-Islam terhadap penentangan keras DAP dalam pelaksanaan hukum Allah kepada MCA?
Adakah ini satu kebetulan atau memang sesuatu yang diatur bagi memberi jalan mudah kepada DAP menjadi pola pilihan politik bukan Melayu-Islam? Kini, oleh kerana DAP dalam saf Pakatan Rakyat, tidakkah aktiviti MCA ini membantu menyelamatkan hubungan DAP- PAS ?
Jika demikian tersasarkah spekulasi bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya adalah kuda tunggangan politikus bukan Melayu-Islam memperkukuh kuasa politik mereka. Silapkah tafsiran bahawa golongan politikus ini mahu DAP jadi pola dan tunggak politik bukan Melayu ?
Sejarah politik di antara kaum di Negara ini menunjukkan bahawa gabungan dalam Barisan Nasional terlalu didominasi oleh Umno. Pengagihan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan di kalangan kerabat  BN sentiasa berat kepada Umno. Rungutan akan keadaan ini sering disuarakan oleh komponen politikus India dalam BN.
Lantas pengalaman dalam BN menunjukkan agak sukar untuk mendapat suara lebih dalam BN bagi politikus bukan Melayu-Islam. Justeru adalah lebih bijaksana jika, sokongan bukan Melayu dipusatkan kepada Pakatan Rakyat. PAS boleh membantu mengurangkan sokongan orang Melayu kepada Umno sementara PKR dan DAP akan menghimpunkan undi bukan Melayu-Islam kepada Pakatan Rakyat.
Sekaligus Umno akan kurang berpengaruh dalam BN dan bukan Melayu-Islam akan lebih bebas bersuara melalui Pakatan Rakyat. Buat masa tidak perlu bersaing dengan DAP untuk mendapat undi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Cukup di peringkat ini jika kuasa politik mereka berpusat pada DAP.
Isu hudud secara langsung atau tidak menyerlahkan sikap dua parti bukan Melayu-Islam ini yang kelihatan bersedia “bantu-membantu” demi mengukuhkan pengaruh politik dalam orde politik baru.
Biarlah buat masa ini, tuntutan tidak mahu hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat kerana itu mungkin akan menjerat kepentingan politikus bukan Melayu-Islam. Buat sementara ini biarlah PAS jangan berasa terlalu rimas DAP menyalak tidak mahu hukum Islam dilaksanakan.

Oleh Abdul Rahman Malik

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...