Translate

02/11/2011

KES RASUAH KAKITANGAN AWAM DI KELANTAN MENINGKAT ????


KOTA BHARU 31 Okt. – Kerajaan Pas Kelantan kecewa dengan peningkatan mendadak kes membabitkan masalah integriti di kalangan kakitangan awam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim berkata, pada tahun lalu, sebanyak 309 kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membabitkan kakitangan awam negeri ini.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak jika dibandingkan pada 2009 yang mencatatkan sebanyak 200 kes penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa.

“Saya juga banyak menerima surat layang mengenai integriti kakitangan awam negeri, jika sekali tidak apa tetapi jika banyak surat ditujukan kepada individu yang sama maka saya akan memanggil individu terbabit untuk siasatan.

“Malah ada segelintir kakitangan awam hidup di luar kemampuan daripada gaji yang diperoleh, ini juga ada laporan, kita telah tubuhkan jawatankuasa khusus untuk memantau kakitangan yang gaya hidup mereka mewah di luar kemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Zainuddin berkata, selain itu, beliau turut memandang serius masalah lewat dan tidak hadir bertugas tanpa sebarang alasan.

“Ada setengah orang kata, ini isu kecil tetapi bagi saya besar, saya akan minta pihak audit supaya mengambil gambar tempat duduk yang kosong, kita akan buat macam untuk perangkap had laju.

“Ini pun integriti, perlu hadir ke pejabat awal, ini kerenah lama, saya bukan tidak faham isu ini atau masalah yang dihadapi tetapi ia sering digunakan sebagai alasan tanpa mahu berubah,” katanya.

Beliau turut menegur sikap kakitangan awam yang tidak mesra ketika berurusan dengan orang ramai.

“Integriti penting untuk membantu pelanggan dan menguruskan tanggungjawab yang diberikan dengan lebih baik, tetapi ada kakitangan kita muncung sebab jadi pegawai kerajaan, sampai jiran yang datang pejabat pun tidak kenal, sebab kita ego.

“Kerja ini adalah anugerah Allah. Tidak perlu untuk ego atau rasa bangga. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan terus memantapkan integriti dan memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan kerenah birokrasi,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...