Isnin, 31 Oktober 2011

Tahniah buat pasukan “Penyu”


Walaupun tidak berjaya memenuhi impian bergelar juara berganda bagi Piala FA dan Piala Malaysia 2011, sekalung tahniah buat pasukan Terengganu yang dinobatkan naib juara Piala Malaysia musim ini, selepas kalah tipis 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir malam tadi.

Meskipun perit dengan kekalahan itu, secara keseluruhan pasukan Terengganu masih boleh berbangga dengan kehebatan mereka sepanjang musim ini – juara Piala FA, naib johan Piala Malaysia dan naib juara liga Super.

Pujian harus diberi kepada para pemain pasukan Terengganu yang telebih dahulu membocori gawang Negeri Sembilan dan bermain secara bermati-matian untuk menjuarai Piala Malaysia.

Sebagai peminat nombor satu pasukan Terengganu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said terus bergegas ke Stadium Shah Alam malam tadi, untuk memberi sokongan, walaupun beliau masih kepenatan selepas pulang dari lawatan ke negeri China bersama-sama pegawai kanan kerajaan bagi tujuan pelaburan.

Beliau dan para peminat bola sepak tempatan, tentunya mengharapkan pemain Skuad ‘Penyu’ akan beraksi lebih hebat pada musim depan, bagi mengekalkan kedudukan sebagai juara Piala FA dan menebus kembali kekecewaan untuk merangkul Piala Malaysia.

Pada perlawanan akhir yang mendebarkan kedua-dua pasukan itu, pemain sayap Terengganu, Mohd Ashaari Abdullah terlebih dahulu menceriakan lebih 35,000 penyokong Skuad ‘Penyu’ apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-59.

Bagaimanapun, pasukan Terengganu yang mengimpikan Piala Malaysia selepas kali terakhir bergelar juara piala itu pada 2001, tersentak dengan jaringan penyamaan pemain penyerang lawan, S Kunanlan pada minit ke-81.

Peluang pasukan Terengganu untuk bangkit semula, seakan-akan tertutup apabila pemain veteran Negeri Sembilan, Hairuddin Omar melakukan penyudah lipatan gunting ke sudut kanan gawang Terengganu, sekaligus menewaskan penjaga gawangnya, Mohd Sharbinee Allawee, kira-kira lima minit selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri.


Sebelum itu, Kerajaan Terengganu memberi diskaun 50 peratus ke atas tiket berharga RM50 bagi menyaksikan pertandingan akhir antara kedua-dua pasukan kerana kenaikan harga tiket yang diputuskan FAM bagi tujuan berkenaan membebankan peminat kedua-dua pasukan itu.

Subsidi RM25 bagi setiap tiket perlawanan itu yang disalur melalui Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, cukup melegakan para penyokong Terengganu yang memenuhi separuh daripada tempat duduk di Stadium Shah Alam, bagi menyokong pasukan Terengganu.


Walaupun gagal memenuhi impian Menteri Besar dan seluruh rakyat negeri ini untuk melihat Skuad ‘Penyu” dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2011, sekalung tahniah buat pasukan bimbingan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim yang mempamerkan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi dalam pertandingan akhir cukup menghiburkan peminat bola sepak tanah air.

Tahniah kepada semua pemain, jurulatih Irfan Bakti, pengurus pasukan, pegawai-pegawai PBSNT dan semua pihak yang terlibat dalam menaikkan mutu permainan skuad ‘Penyu’.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...