Translate

22/10/2011

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ‘tambak laut’ tarik pelaburan RM5 bilion


PROJEK Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan negeri ini dengan nilai pelaburan RM5 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, projek yang merangkumi tiga pemangkin utama iaitu pusat gaya bersepadu, pusat komersial dan hab pendidikan itu mewujudkan lebih 82,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Terengganu menjelang 2020.

Menurutnya, pembangunan seluas kira-kira 7 kimometer radius itu dijangka membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sehingga 7.5 peratus menjelang tahun yang sama berbanding 5.5 peratus ketika ini.

“Projek KTCC akan menjadi penanda aras baru kepada pembangunan hartanah di Terengganu pada masa depan dan meletakkan negeri ini sebagai pusat pelancongan moden bertaraf dunia.

“Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan kunjungan pelancong sebanyak 3.5 juta orang setahun menjelang 2013 berbanding lebih 2.5 juta pada masa sekarang,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah dan pelancaran projek KTCC di Muara Selatan, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyaksikan dua memorandum persefahaman (MOU) ditandatangi iaitu antara ECERDC yang diwakili Dato’ Jebasingam, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAWNT) diwakili Dato’ Mazlan dan KTCC Mall Sdn. Bhd. Diwakili Tan Sri Tang Yeam Soon.


Sebuah lagi MOU melibatkan ECERDC, TAWNT dan syarikat Austin Heights Sdn. Bhd. Yang diwakili Dato’ Ir. Steve Chong Yoon On.

ECERDC merupakan antara koridor pembangunan terbesar negara yang sebahagian besarnya dibangunkan di tanah tambakan di Muara Sungai Terengganu yang merangkumi pembangunan lima bidang utama iaitu Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang dan Tanjung serta Tebing Pesisir Air.

Antara komponen lain yang akan dibangunkan melalui penglibatan pelabur dalam dan luar negara ialah pusat perniagaan komersial, pusat konvensyen antarabangsa dan kediaman moden yang akan dilengkapi dengan pusat beli-belah, percutian, perubatan dan pendidikan.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, bagi melengkapkan pembangunan KTCC, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua disiapkan menjelang 2013 dan bakal mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur kepada empat jam.

"KTCC akan menjadi faktor penarik untuk menggalakkan lebih ramai belia kembali bekerja di negeri ini apabila melihat perubahan bandar raya ini yang bakal menjadi hab kehidupan, bekerja dan aktiviti-aktiviti rekreasi," jelasnya.

Bagi mempromosikan imej negeri itu sebagai Gerbang Pelancongan di ECER katanya, sebuah mercu tanda baru negeri iaitu jambatan angkat (draw breach) bernilai hampir RM40 juta bakal dibina menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara.

Antara projek yang bakal menjadi langskap pembangunan di KTCC katanya, sebuah apartment 30 tingkat bernilai RM150 juta yang mengandungi 292 unit rumah dan 90 unit ruang komersil dibangunkan melalui peruntukan TAWNT.

Selain itu kata Dato’ Seri Ahmad, menara 30 tingkat milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dibina dan sebuah lagi menara dengan ketinggian sama dibangunkan untuk menempatkan pejabat semua yayasan-yayasan milik Kerajaan Negeri.

“Selain itu, sebuah menara hotel dengan kapasiti 400 bilik turut menjadi ikon pelancongan menarik dengan kemudahan pusat boling 36 lorong bertaraf antarabangsa bakal dibangunkan,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...