Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu memberi penekanan terhadap kakitangan jabatan itu terutama anggota penguatkuasa dengan menganjurkan Kursus Pemantapan dalam usaha membina keyakinan diri dalam kerjaya dan memperkayakan integriti anggota.
Kursus tiga hari yang disertai 206 anggota yang berlangsung di Demong Beach Resort dan berakhir semalam bertujuan melahirkan semangat yang padu dalam menjalankan tugas harian bagi memastikan bahagian penguatkuasa sentiasa cemerlang dan gemilang.
Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, kursus berkenaan dirancang supaya anggota terbabit dapat menghayati sepenuhnya tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan setiap hari.
Katanya, sepanjang mengikuti kursus itu peserta dapat mengikuti beberapa ceramah berkaitan tugas yang disampaikan oleh penceramah khas dari Suruhanjaya Pencehagan Rasuah Malaysia (SPRM),Akademik JPJ Malaysia dan pegawai kanan dari ibu pejabat JPJ.
Beliau berkata, anggota penguatkuasa jabatan itu yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko ketika menjalankan tugas terutama dalam operasi sekatan jalan raya perlu diberi pendedahan mengenai tugasan mereka.
Menurutnya, pengguna jalan raya sekarang sudah berani melakukan sesuatu dan melanggar sekatan jalan raya dan ini memerlukan kebijaksanaan anggota untuk menghadapi keadaan sedemikian.
“Beberapa kes membabitkan pemandu kenderaan melanggar sekatan jalan raya amat membimbangkan kerana ia mungkin mengancam keselamatan petugas,” katanya.
Abdul Rahman berkata, menerusi kursus jangka pendek itu diharap anggota terbabit dapat mempraktikkannya selain menolak unsur rasuah yang cuba dilakukan oleh orang awam.