Sabtu, 22 Oktober 2011

Undang-undang hudud luluskan suami meliwat isteri


Image Detail

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat semalam, menjadi hangat apabila seorang wakil Bebas mendakwa undang-undang hudud diluluskan kerajaan Pas semasa memerintah Terengganu, membenarkan suami meliwat isteri. 

Ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011, Datuk Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) berkata, jika mengikut Seksyen 14, Enakmen Jenayah Syariah, Qisas dan Takzir digazetkan pada 2004, adalah tidak menjadi kesalahan bagi seorang suami berbuat demikian.

Kenyataan Zulkifli itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen ‘panas telinga’ dan menimbulkan kekecohan. 

“Paling saya terperanjat, ada berbelas-belas kesilapan bercanggah dengan Islam tapi yang saya nak tunjuknya, ini bukan datang dari syariat Islam. 

Contoh, berkaitan dengan liwat. Disebut dalam ini (enakmen) liwat ialah (dalam) Seksyen 14. Ini enakmen telah digazetkan. 

“Tafsiran liwat (di dalam enakmen) ialah kesalahan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki, kita fahamlah itu atau di antara lelaki dengan seorang perempuan dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur. 

“Yang saya terperanjat dia (hukum hudud) kata ‘selain daripada isterinya’. Makna kata kalau seorang suami bersetubuh melalui dubur isteri itu bermakna tidak liwat dalam hudud Pas ini,” kata Zulkifli. 

Zulkifli juga mendedahkan di dalam enakmen itu, berhubung pelantikan hakim yang turut membenarkan orang bukan Islam dilantik menjadi hakim bagi undang-undang hudud serta perkara berkaitan qazaf melibatkan empat saksi bagi zina di mana, sekiranya salah seorang saksi menarik diri maka tiga lagi saksi boleh dihukum. 

Menurutnya, pendedahan itu menunjukkan bahawa apa disebut oleh Pas sebagai hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh parti itu, bukanlah hukum ALLAH sebaliknya, hukum direka oleh parti itu sendiri. 

“Bila saya check (periksa) balik, rupanya betul memang Tun Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dulu tolak kerana ini bukan hudud Islam tetapi ini hudud Pas. Ada percanggahan jelas, isteri boleh diliwat dan lain-lain lagi,” katanya. 

Pendedahan Zulkifli mengenai liwat itu menyebabkan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) mencelah dan mendakwa kenyataan Zulkifli sebagai tuduhan, lalu meminta beliau dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyokong kenyataan Zulkifli itu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. 

Bung Moktar sebelum itu bangun dan bertanya Bolehkah liwat isteri sendiri? dan Zulkifli menjawab Boleh mengikut hudud Pas. 

Salahuddin mula berang bangun berkata Dia (Zulkifli) tidak boleh tuduh macam itu. Tak ada (suami dibenar meliwat isteri) dalam hudud Pas. Saya nak minta Peraturan Mesyuarat merujuk Kulim-Bandar Baharu dan Kinabatangan kerana mereka mengatakan meliwat isteri itu hudud Pas. 

Bagaimanapun, usul itu ditolak Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee yang memutuskan tiada pelanggaran terhadap kenyataan Zulkifli itu. 

Suasana Dewan Rakyat terus kecoh apabila Salahuddin dan beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dan mempertikaikan keputusan timbalan speaker sehingga menyebabkan Zulkifli tidak dapat menjelaskan kenyataan berhubung enakmen itu. 

Zulkifli juga tidak dapat meneruskan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 kerana masa yang diperuntukkan kepada seorang ahli Parlimen untuk berbahas selama 20 minit telah tamat.- Bernama.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...