Polis wanita dijel 6 bulan kerana terima rasuah daripada rakan
SEORANG pegawai polis wanita dijatuhi hukuman penjara enam bulan semalam kerana menerima rasuah sebanyak $50 daripada seorang rakan sekerja yang meminta agar dia tidak melaporkan kesalahan mencuri yang dilakukannya.
Norhasidah Mohamed Said, 30 tahun, yang kini hamil sembilan minggu, juga diarah membayar denda sebanyak $50 - nilai rasuah yang diterimanya.
Norhasidah merupakan pegawai berpangkat sarjan di Pusat Polis Kejiranan (NPC) Ang Mo Kio North ketika dia melakukan satu serbuan bersama lima yang lain dalam satu kawasan hutan dekat Upper Thomson Road pada 24 Januari 2009.
Rakan Norhasidah yang juga ketua pasukan, Elvilin Tay Sheo Tang, kini 37 tahun, menjumpai seikat wang $50, 13 peket rokok yang tidak dibayar cukai dan beberapa telefon bimbit di sebuah kuarters sementara.
Para pegawai polis itu berjaya menahan seorang yang disyaki sebagai pendatang tanpa izin sementara tiga lagi dapat meloloskan diri.
Sedang dua pegawai membawa suspek keluar dari kawasan hutan tersebut, Norhasidah kembali ke tempat serbuan bersama Tay.
Dia ternampak Tay mengambil $50 daripada sebuah dompet, yang dibuangnya kemudian.
Sekembalinya mereka di NPC, Tay memberinya $50 agar dia tidak melaporkan perbuatan Tay mengambil wang dan rokok tanpa cukai yang mereka temui semasa serbuan itu.
Norhasidah juga mengaku membantu Tay menyerahkan $50 kepada rakannya, Koperal Eric Xie Qingrong, 25 tahun, untuk menutup mulut mengenai insiden tersebut.
Tay, yang didapati bersalah, kini menjalani hukuman penjara 18 bulan bagi lima tuduhan berkaitan rasuah, sementara Xie belum didakwa.