Translate

01/09/2011

Penyerahan Kemudahan Loji Rawatan Air Peristiwa Bersejarah

Image Detail

PAGOH, 31 Ogos (Bernama) -- Penyerahan empat kemudahan loji rawatan air oleh Lembaga Perbekalan Awan Singapura (PUB) kepada kerajaan Johor hari ini merupakan satu sejarah yang bermakna ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan ke 54, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini peristiwa bersejarah setelah sekian lama kita bantu Singapura. Kita harap ini suatu manifestasi hubungan istimewa Singapura-Johor yang sudah lama berlaku," katanya kepada pemberita semasa rumah terbuka Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar, di sini hari Rabu.
Selain Loji Air Gunung Pulai, PUB menyerahkan Loji Air Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian berikutan kontrak bekalan air selama 50 tahun tamat antara PUB dan kerajaan negeri Johor di bawah Perjanjian Air 1961 hari ini.

Muhyiddin percaya setelah penyerahan balik kemudahan air itu kerajaan negeri akan menguruskannya dengan sebaiknya bagi membekalkan air kepada penduduk di negeri ini.

Majlis penyerahan kemudahan tersebut secara rasmi itu disaksikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Loji Air Gunung Pulai.

Majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi PUB Tan Gee Paw dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil.

Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...