TIGA jari tangan seorang remaja di Kuala Terengganu hancur dan hampir putus selain melecur di badan apabila mercun yang dibakar meletup secara tiba-tiba.
Dua kanak-kanak dalam dua kejadian berasingan di Kota Baru turut menjadi mangsa bahan api itu apabila cedera selepas mercun bola yang dibakar meletup.
Selain itu, mata seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Alor Setar pula nyaris buta apabila api percikan mercun terkena pada mukanya.
Satu persatu kisah tragis menjelang Aidilfitri membabitkan mangsa mercun. Bahan api itu bukannya buatan sendiri tetapi diseludup masuk ke negara ini.
Setakat ini, jumlah mangsa kecederaan akibat mercun seramai sembilan orang iaitu tujuh orang di Kelantan dan masing-masing seorang di Kedah dan Terengganu.
Ini tidak termasuk lagi dengan lapan kebakaran yang berlaku sepanjang bulan Ramadan berpunca daripada mercun dan bunga api.
Siapa yang harus dipersalahkan? Peniaga atau pengguna sedangkan mercun kini sudah diharamkan di Malaysia menerusi Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991.
Setiausaha Bahagian Kepolisan dan Keselamatan Sempadan Kementerian Dalam Negeri yang juga merupakan Ketua Pengarah Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Datuk Ab Rahim Ismail berkata, senario itu perlu dilihat daripada sumbernya yang disebabkan oleh aktiviti penyeludupan mercun yang masih berlaku di negara ini.
“Dari Januari sehingga 19 Ogos tahun ini UPP telah merampas mercun dan bunga api bernilai RM81,930. Bulan Ramadan sahaja mencatatkan rampasan RM48,370.
“UPP pada tahun lalu mencatatkan nilai rampasan mercun dan bunga api sejumlah RM708,836.28,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar, baru-baru ini.
Sepanjang tahun
Ab Rahim berkata, sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, UPP melaksanakan dua operasi (Ops) yang dikenali sebagai Ops Raya dan Ops Letup.
Jelasnya, kedua-dua Ops tersebut bertujuan untuk memantau dan membuat pemeriksaan pergerakan keluar masuk semua kenderaan bagi mematahkan sebarang percubaan menyeludup keluar dan masuk barangan larangan dan barangan bercukai.
“Hasil daripada Ops Raya dan Ops Letup yang dijalankan oleh pasukan UPP Kelantan telah mengenal pasti barangan yang diseludup bernilai RM609,350.
“Selain mercun, barangan seludup yang turut dirampas adalah beras, pakaian berjenama tiruan, kain tudung dan kain batik serta dadah jenis pil kuda.
“Bagaimanapun, UPP turut merampas mercun dalam serbuan dan operasi lain yang bukan Ops Raya dan Ops Letup,” kata Ab Rahim.
Berdasarkan rampasan yang dilaksanakan oleh UPP dalam beberapa siri operasi menunjukkan bahawa penyeludupan mercun masih berlaku di negara ini.
Timbul dakwaan turut mengatakan penyeludupan masuk bahan api ke Malaysia lebih tertumpu pada musim perayaan.
Ab Rahim bagaimanapun berkata, aktiviti itu sebenarnya berlaku sepanjang tahun yang disebabkan beberapa faktor termasuk permintaan pasaran.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum, masing-masing mempunyai perayaannya sendiri menyebabkan permintaan terhadap mercun tinggi dan tidak pernah putus.
“Ia turut disebabkan oleh budaya rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan persekitaran bunyi mercun di sana-sini apabila tiba musim perayaan,” katanya.
Untung berganda
Permintaan mercun yang tinggi menjadikan ia sebagai lubuk emas kepada penyeludup termasuk peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlipat-ganda.
Menurut Ab Rahim, mercun yang sukar diperoleh di Malaysia menjadikan barangan itu sering ditunggu-tunggu sama ada peniaga atau pengguna.
“Penyeludupan mercun tidak semestinya meningkat menjelang musim perayaan kerana ia sudah dilakukan lebih awal lagi secara berperingkat-peringkat.
“Sebagai contoh, UPP mencatatkan rampasan mercun tertinggi tahun lalu pada Julai dengan nilai RM530,500 sedangkan Hari Raya Aidilfitri pada September,” katanya.
Ab Rahim berkata, walaupun mercun kini sudah diharamkan di Malaysia namun berdasarkan statistik rampasan bahan itu tidak mencatatkan penurunan.
Menurut beliau, dari tahun 2007 sehingga 2011 UPP telah menyekat aktiviti penyeludupan mercun berjumlah RM1.59 juta.
“Bagaimanapun penguatkuasaan UPP bersepadu sedikit-sebanyak berjaya membanteras aktiviti itu daripada berleluasa di negara ini.
“Penyeludupan mercun akan berlaku selagi ada permintaan dan keuntungan yang diperoleh oleh penyeludup berlipat ganda.
“UPP sentiasa melaksanakan operasi dan penguatkuasaan yang bukan sahaja menumpukan mercun semata-mata malah turut melibatkan barangan larangan lain dan barangan bercukai,” kata Ab Rahim.
Berdasarkan statistik pada tahun lalu, UPP berjaya membanteras aktiviti penyeludupan dengan nilai rampasan sebanyak RM27.67 juta manakala dari Januari sehingga 19 Ogos tahun ini pula adalah RM12.65 juta.
Selain mercun, barangan yang dirampas dalam aktiviti penyeludupan adalah dadah, beras, senjata api, minuman keras, rokok, kayu, diesel dan petrol.