Penjual guna logo 'Happy Boom', 'Pop-Pop' dibenarkan pada kotak jualan.
Kurang seminggu lagi meraikan Aidilfitri, peniaga mercun dan bunga api yang ghairah untuk mengaut keuntungan segera, menukar taktik jualan bagi mengabui pembeli. Mereka menggunakan logo ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-Pop’ iaitu sejenis bunga api yang dibenarkan pengimportannya oleh pihak berkuasa, pada kotak jenis mercun yang diharamkan dan menjualnya berleluasa termasuk di bazar Ramadan dan pasar malam. Tinjauan di sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakan peniaga yang menjual mercun itu adalah warga asing yang dilihat seolah-olah mencabar peraturan dan undang-undang negara ini.
Ketika ditanya mengenai larangan penjualan mercun itu, mereka mendakwa berbuat demikian atas arahan majikan atau pemilik sebenar barangan berkenaan. Biasanya, harga yang dijual antara RM1 hingga RM6 bergantung pada jenis mercun dan bunga api terbabit.
Polis hanya membenarkan penjualan bunga api jenis ‘Happy Boom dan Pop-Pop’ kerana bahan terbabit tidak membahayakan pengguna.
Penjualan bahan letupan termasuk mercun pula diharamkan mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara tidak lebih tiga tahun.
Seorang peniaga, Mohd Safarizal Helmi, 25, berkata penjualan mercun terus mendapat sambutan orang ramai walaupun diharamkan pihak berkuasa.
“Kalau di Jalan Tuanku Abdul Rahman, penjualan mercun mungkin kurang tetapi di tempat lain ia dijual secara berleluasa. Peniaga tetap berdegil kerana mereka tahu perniagaan mereka dapat sambutan,” katanya.
Kakitangan awam, Mohd Izazul Fahili, 32, pula menyalahkan peruntukan hukuman ringan yang dikenakan ke atas peniaga menyebabkan lambakan mercun terus berlaku di pasaran.
“Hukuman sedia ada tidak tegas, peniaga tak serik untuk menjual mercun kerana mereka tahu hukumannya ringan,” katanya menambah kerajaan perlu meminda peruntukan sedia ada, termasuk memanjangkan tempoh hukuman penjara kepada pesalah.
Bagi pelajar sebuah universiti tempatan, Norazela Aziz, 24, berkata lambakan mercun di pasaran berlaku kerana mendapat permintaan tinggi dari orang ramai.
“Ini soal kesedaran orang ramai. Kalau tiada permintaan, tiada bekalan mercun. Saya rasa ia terpulang kepada masyarakat untuk atasi masalah ini dan bukannya bergantung kepada undang-undang atau peraturan semata-mata,” katanya