Translate

09/08/2011

45 NGO hantar memorandum kepada Sultan Selangor sokong tindakan JAIS


SHAH ALAM: Sejumlah 45 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjalankan pemeriksaan di sebuah gereja di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu. 
Wakil kumpulan NGO itu, Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Dzulkhaini Husain, berkata memorandum itu dihantar kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, di Istana Bukit Kayangan di sini pagi ini.
Beliau berkata, tujuan memorandum lima muka surat itu dihantar adalah bagi mempertahankan kedaulatan Islam berhubung tindakan anggota penguatkuasa JAIS ketika melakukan pemeriksaan di gereja terbabit.

"Kami sudah berjumpa dengan wakil daripada JAIS dan selepas mendapat semua maklumat serta penjelasan, kami dengan sepenuh hati menyokong tindakan yang dibuat oleh JAIS dalam usaha mempertahankan kedaulatan agama Islam," katanya kepada pemberita di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini. 

Beliau berkata, tidak berlaku sebarang kejadian seperti memecah pintu atau menceroboh dewan gereja berkenaan seperti yang didakwa sebaliknya pemeriksaan dilakukan secara berhemah serta menemui bukti mengenai kesalahan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) 1988. 

Pegawai Kerja dan Aktivis Pengguna Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Mohd Mustaffa Hamzah, berkata NGO berkenaan kesal dengan laporan dua laman berita portal di negara ini yang menulis seolah-olah JAIS melakukan serbuan dengan kekerasan terhadap gereja terbabit. 

Beliau berkata, laporan berkenaan tidak beretika di mana sepatutnya ia dilakukan dengan mendapatkan sumber yang sebenar. 
"Kita juga kesal dengan tindakan Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang seolah-olah membelakangkan Sultan Selangor dalam memberikan reaksi terhadap tindakan JAIS memeriksa gereja terbabit," katanya. - BERNAMA 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...