KUALA TERENGGANU, 26 Julai (Bernama) -- Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menarik balik biasiswa pelajar tajaannya yang terlibat dengan perhimpunan haram di Mesir pada 9 Julai lepas.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan haram itu memberi surat tunjuk sebab bagi memberi peluang mereka membela diri.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan haram itu memberi surat tunjuk sebab bagi memberi peluang mereka membela diri.
"Lebih kurang enam orang telah dikenal pasti melalui gambar-gambar yang diterima terlibat dengan aktiviti tersebut, jika kita tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan mereka mengenai hal terbabit, biasiswa yang diberikan akan ditarik balik serta-merta.
"Kita menaja pengajian mereka ke Mesir untuk belajar tentang ilmu agama, bukannya untuk mengadakan serta terlibat dengan demonstrasi haram seperti ini," jelasnya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Ihya' Ramadan Peringkat Negeri Terengganu dan Dokumentari Syahadah musim ke-tujuh di sini Selasa.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Norhyati Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.
Ahmad berkata, seramai 1,000 pelajar dari negeri ini melanjutkan pelajaran di Mesir namun hanya 400 orang daripada jumlah tersebut yang menerima biasiswa kerajaan negeri.
Beliau turut meluahkan rasa terkilannya terhadap sebilangan pelajar Terengganu yang melanjutkan pelajaran di sana kerana ada di antara mereka yang mengambil masa terlalu lama untuk menamatkan pengajian.
"Ada di antara mereka yang sibuk berdemonstrasi sehingga melupakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, hal ini tidak seharusnya berlaku kerana tujuan utama mereka dihantar ke sana adalah untuk belajar bukan terlibat dengan politik," katanya.