Translate

02/07/2011

Singapura Akan Buka Landasan KTMB Untuk Diserah Kepada Malaysia

View Image

SINGAPURA, 2 Julai (Bernama) -- Singapura akan memulakan kerja-kerja membuka landasan dan struktur sampingan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk diserahkan kepada Malaysia seperti yang dipersetujui.

Tanah yang sebelum ini diduduki stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), menjadi hak kerajaan Singapura mulai Jumaat.

Singapore Land Authority (SLA) akan memulakan kerja-kerja membuka landasan serta menyelenggara kawasan sekitarnya tidak lama lagi.

Urban Redevelopment Authority (URA) pula akan mengkaji secara menyeluruh dan mencarta pelan pembangunan tanah bekas stesen kereta api berkenaan serta kawasan sekitarnya, kata pihak berkuasa dalam kenyataan bersama.

Bagaimanapun, SLA akan membuka keseluruhan kawasan landasan kereta api itu kepada orang ramai, kecuali di beberapa tempat, mulai hari ini hingga 17 Julai, sebagai respons bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berjalan di situ.

Selepas 17 Julai, satu landasan sepanjang 3 kilometer dari Rifle Range Road ke Rail Mall akan terus dibuka kepada orang ramai sehingga 31 Julai.

Menurut kenyataan itu, Stesen Keretapi Tanjong Pagar dan Stesen Bukit Timah akan ditutup buat sementara waktu bagi memudahkan pemindahan perabot serta peralatan KTMB dan penghuninya.

SLA juga akan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta pemeriksaan struktur, dan mulai hari ini hingga 17 Julai, kerja-kerja kecil akan dijalankan di Stesen Bukit Timah serta kawasan lintasan kereta api di Kranji Road, Sungai Kadut Avenue, Choa Chu Kang Road, Stagmont Ring dan Gombak Drive.

Kerja-Kerja membuka landasan kereta api kecuali di kawasan sepanjang 3 kilometer dari Rifle Range Road ke Rail Mall, akan bermula 18 Julai ini.

Ia turut membabitkan kerja-kerja pembersihan bangunan kecil, landasan, kabel, pagar dan peralatan kereta api seperti lampu isyarat.

Kerja-Kerja itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Dis.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...