Translate

01/07/2011

Malaysia yakin dapat kalahkan Taiwan untuk temu Singapura

View Image

KELAYAKAN PIALA DUNIA ASIA

KUALA LUMPUR: Jurulatih Malaysia, K. Rajagobal, yakin Malaysia dapat membuktikan keunggulannya ke atas Taiwan dalam perlawanan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia di Taipei Ahad ini.


Malaysia menewaskan Taiwan 2-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Bukit Jalil.


'Kami tidak kalah atau pun seri. Kemenangan malam ini adalah keputusan yang baik,' jelas Rajagobal selepas perlawanan tersebut.'

Malaysia hanya perlu seri untuk menempah tiket menentang Singapura dalam pusingan kedua pada 23 dan 28 Julai ini.

Jurulatih Taiwan, Lo Chi Tsung, berkata beliau menerima keputusan itu dan mengakui bahawa Malaysia bukanlah pasukan yang mudah.

'Dengan kelebihan bermain di padang sendiri, saya yakin kami boleh menang,' katanya.

Sementara itu, Vietnam, Bangladesh dan Kemboja kelihatan akan melangkah ke pusingan kedua selepas mengecap kemenangan selesa kelmarin.

Bermain di padang sendiri, Vietnam membelasah Macau 6-0 di Bandar Ho Chi Minh, dengan penjaring utamanya, Le Cong Vinh, mencatatkan hat-trick.

Bangladesh menikmati kemenangan selesa 3-0 ke atas Pakistan di Lahore, sementara Kemboja menang 4-2 ke atas jirannya, Laos.

Afghanistan pula kecundang 0-2 di tangan Palestin, yang dijangka mara ke pusingan kedua menentang Thailand.

Mongolia mencatatkan kejutan dengan menewaskan Myanmar 1-0, sementara Nepal menang 2-1 ke atas Timor Leste dan Filipina seri 1-1 dengan Sri Lanka.

Lapan pasukan yang memenangi perlawanan pusingan pertama ini akan menyertai 22 pasukan lain bagi pusingan kedua, termasuk China, Thailand dan Iran, bagi perlawanan timbal balas pada 23 dan 28 Julai ini.

Sebanyak 15 pasukan yang memenangi perlawanan pusingan kedua akan menyertai gergasi-gergasi Asia - Jepun, Korea Selatan, Australia dan Korea Utara - dalam pusingan ketiga kelak. -- Bernama, AFP.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...