Translate

10/07/2011

Perhimpunan Haram Usaha Sabotaj Imej Kerajaan, Negara - Penganalisis


KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perhimpunan haram Sabtu dengan sendirinya menzahirkan kepada rakyat tentang agenda penganjur dalam usaha mereka melakukan sabotaj terhadap imej kerajaan dan negara, kata beberapa penganalisis politik.

Mereka berpendapat perhimpunan itu dimanipulasi pihak tertentu bagi menjayakan agenda politik untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata penganjur sepatutnya bertimbang rasa dengan mengambil kira cadangan kerajaan agar perhimpunan dibuat di luar ibu negara, namun mereka seolah-olah mencabar kewibawaan kerajaan apabila meneruskannya di beberapa jalan utama bandar raya ini.

"Kita tengok objektif utama perhimpunan tersebut bukan lagi mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi ia menyimpang apabila disulami dengan laungan 'Tumbangkan Barisan Nasional' dan sebagainya.


"Jika mereka ini badan yang mendokong keadilan, kenapa masih diteruskan perhimpunan di jalanan? Ini tidak lain adalah untuk menunjukkan hasrat tersirat penganjur dan kumpulannya, yang didokong PAS, DAP dan PKR, adalah untuk menimbulkan kebencian di kalangan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia secara amnya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Md Shukri berkata cadangan kerajaan yang kelihatan berlembut hati apabila membenarkan penganjur mengadakan perhimpunan di luar ibu negara, di sebalik status haramnya, diperlekehkan begitu sahaja.


Sehubungan itu, beliau meminta rakyat menilai lebih mendalam serta menolak kemungkinan menjadikan pihak yang tidak mempunyai semangat patriotisme ini sebagai pemimpin masa depan.

Bersetuju dengan pendapat tersebut, pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Shamrahayu Abdul Aziz pula berkata, walaupun niat penganjur kononnya untuk kebaikan sistem pilihan raya, namun cara yang digunakan hanya mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Beliau berkata perhimpunan hari ini membuktikan ia bukan mengenai usaha membaik pulih SPR, sebaliknya lebih kepada masalah nafsu untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih majoriti rakyat.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan menegaskan penganjur tidak menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar perhimpunan diadakan di sebuah kawasan yang terkawal, selamat dan tidak mengganggu urusan orang ramai seperti di stadium.


Beliau berkata penganjur tidak mengambil inisiatif untuk berhimpun secara aman di salah sebuah lokasi yang tetap, walaupun kerajaan berulang kali memberi jaminan mereka boleh berbuat demikian di mana-mana stadium di luar ibu negara.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata laungan yang bermotifkan politik jelas menzahirkan agenda di sebalik perhimpunan itu bukan bertujuan memutihkan SPR, tapi sebenarnya lebih menjurus kepada nafsu menjadi pemerintah negara ini.


"Kalau rakyat matang, kita baliklah pada sistem pilihan raya yang betul di mana pada Pilihan Raya Umum 2008, ia telah beri peluang kepada pembangkang untuk memenangi hati rakyat (di beberapa negeri), sekaligus membuktikan sistem kita sudah cukup berkesan, jika mereka ingin tukar kerajaan sekalipun," katanya.

Beliau turut meminta pihak berkuasa agar memberi perhatian lebih serius terhadap perhimpunan itu apabila ia dikesan mempunyai unsur menghasut bagi menjatuhkan kerajaan, tanpa mengikut saluran yang betul.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...