KUALA LUMPUR: Beberapa penganalisis politik membuat kesimpulan bahawa setelah berlalunya perhimpunan haram pada 9 Julai, penganjurnya tidak mendapat sebarang keuntungan dan kerajaan Barisan Nasional pula tidak rugi apa-apa.
Mereka berpendapat perhimpunan haram berkenaan gagal memenuhi impian penganjurnya, iaitu satu badan tidak berdaftar dikenali Bersih, untuk melemahkan kedudukan BN atau meningkatkan sokongan terhadap pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS.
Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata asas bagi kesimpulan yang dibuat itu mudah sahaja iaitu biar betapa hebatpun pakatan pembangkang memainkan isu perhimpunan haram berkenaan, pengundi Melayu di luar bandar tetap akan memberi sokongan kepada BN berikutan kejayaan parti gabungan itu membawa kemakmuran, keamanan dan keharmonian kepada negara. "Begitu juga halnya, biar apa jua label yang diberikan, penyokong tegar Pakatan Rakyat akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Bernama.
Oleh itu, kata beliau, persoalan yang masih wujud ialah sama ada perhimpunan haram 9 Julai itu memberi kesan terhadap pendirian golongan atas pagar memandangkan penyokong Bersih lantang mendakwa mereka meraih kejayaan daripada kegiatan itu. Sivamurugan berkata di peringkat lapangan pula, kempen politik akan berterusan dengan satu pihak cuba memberi gambaran positif tentang apa yang mereka sifatkan sebagai pencapaian perhimpunan haram itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata majoriti rakyat Malaysia terutama di ibu negara dan Lembah Klang tidak menyokong perhimpunan haram itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula mengkritik perhimpunan haram itu kerana telah mencetuskan kekacauan, manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan haram itu hanya disertai5,000 atau 6,000 orang, walaupun pembangkang menyifatkannya sebagai suatu kejayaan dengan mendakwa ia disertai 50,000 orang.
Sivamurugan berkata BN berharap sokongan penduduk di luar Lembah Klang terhadapnya tidak terjejas berikutan demonstrasi haram itu, manakala pembangkang pula menaruh harapan agar ia mewujudkan gelombang sebelum barlangsungnya pilihan raya umum akan datang, seperti momentum yang telah mereka raih daripada perhimpunan haram Bersih 2007. "Secara umumnya, mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan Selangor tidak begitu peduli tentang perhimpunan itu, manakala sejumlah anggota pembangkang yang menyertai perhimpunan haram itu masih tidak pasti mengenainya. Oleh itu,ada orang berkata perhimpunan haram itu akan membawa kepada perubahan selera pengundi dan ada pula yang menolaknya," kata beliau.
Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik berpendapat sesetengah orang bersifat mudah lupa dan sekiranya pilihan raya umum diadakan beberapa bulan akan datang atau tahun depan, semuanya mungkin terhapus daripada ingatan mereka,lebih-lebih lagi sekiranya kerajaan BN mengumumkan pelbagai dasar bersifat mesrarakyat untuk meluputkan kesan daripada perhimpunan haram itu.
Pensyarah Azli Abdullah berkata walau apapun dakwaan penganjur perhimpunan haram itu, perubahan selera pengundi boleh berlaku secara dua hala lebih-lebih lagi apabila ramai pengundi dapat melihat dengan jelas dan menghargai keberkesanan kerajaan dalam menanganinya.
"Walaupun begitu teruk dicabar, pihak berkuasa tetap bertindak dalam lingkungan bidang kuasa mereka dan berjaya mencegah berlakunya kejadian tidak diingini. Hakikat bahawa polis berjaya mematahkannya menjadi berterusan, amatdihargai oleh majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," katanya.
Azli berkata setelah sekian lama tergolong dalam kalangan berjuta-jutamajoriti senyap, kini beliau berasa terpanggil untuk menyatakan secara terang-terangan bahawa beliau tidak lagi mempunyai sebarang simpati terhadap pembangkang, lebih-lebih lagi kumpulan pengacau, yang dengan jelas telah menghumban sepenuhnya perasaan cintakan negara.
"Rakyat Malaysia jenis apakah mereka ini? Mereka sanggup bersekongkol dengan media asing semata-mata untuk memburuk-burukkan Malaysia dengan memberi gambaran seolah-olah negara bertuah ini akan terjerumus ke lembah kekacauan selepas Mesir dan sebagainya," kata beliau. Tetapi, yang pasti, pembangkang akan terus melaungkan lapan perkara yangdituntut oleh Bersih dengan harapan ia mengganggu kelancaran rancangan Najibuntuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pas berkata ia akan mengadakan satu lagi perhimpunan sebelum pilihan raya umum akan datang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan perubahan seperti yang dituntut, walaupun SPR telah memberi penjelasan bahawa sesetengah tuntutan itu hanya boleh dilaksanakan oleh Parlimen.
Ramai pemerhati berpendapat perhimpunan haram 9 Julai itu membawa kerugian ekonomi kepada negara dan golongan tertentu.
"Selain masa dan petrol yang dibazirkan akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya, perniagaan kecil dan sederhana di Lembah Klang mengalami kerugian besar. Orang dan barangan dihalang daripada memasuki bandar raya ini, manakala berjuta-juta ringgit menjadi beku dan terhalang daripada memasuki pasaran.
"Kecergasan ekonomi bergantung kepada pengaliran dana. Wang berjuta-juta ringgit yang tersekat itu mungkin mengakibatkan kerugian sekali atau dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlahnya, terutama pada hujung minggu. Kepada siapa peniaga kecil hendak menuntut pampasan?" kata seorang penganalisis dari sebuah syarikat broker saham yang enggan dikenali. Kerajaan pula terpaksa menanggung kos yang tinggi termasuk untuk mengerahkan anggota polis dari negeri lain ke ibu negara bagi mengawal keadaan dan memelihara ketenteraman awam.
Sekiranya kesemua 1,667 penujuk perasaan yang ditahan semasa perhimpunan haram itu dibawa ke muka pengadilan, mahkamah perlu menggunakan banyak sumber untuk mengendalikannya, dan ini melibatkan kos dan masa. Pakatan pembangkang menganggarkan mereka membelanjakan RM150,000 untuk mengadakan perhimpunan haram itu, termasuk membayar wang ikat jamin penunjuk perasaan yang ditangkap, manakala kerajaan pula menganggarkan jumlah yang terpaksa ditanggungnya 10 kali lebih tinggi daripada itu.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina (Huazong) Tan Sri Pheng Yin Huah berkata ekonomi dunia telah telah menurun dan ini mungkin menyebabkan Eropah mengalami krisis ekonomi, yang akhirnya akan memberi kesan kepada negara lain di seluruh dunia.
"Berikutan keadaan ini, kerajaan yang memerintah sekarang perlu diberi peluang untuk menumpukan terhadap usaha mencergaskan semula ekonomi dan pihak-pihak yang bertelagah perlu mengetepikan perbalahan politik sesama mereka demi kebaikan negara. Masa yang ada sepatutnya digunakan untuk memajukan negara," kata Pheng.
Memang tepat kata-kata beliau itu kerana biar betapa lantang atau berapa kerap sesuatu pihak itu memenuhi jalan raya untuk mengadakan tunjuk perasaan,dalam sistem demokrasi, setiap pemilih hanya mempunyai satu undi. – BERNAMA
UMP-PENGAMBILAN PERMOHONAN PELAJAR SECARA ONLINE KE UMP MENINGKAT
Permohonan Pelajar Secara Online Ke UMP Meningkat
KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat peningkatan sebanyak 30 peratus bagi permohonan kemasukan secara online ke universiti itu untuk sesi 2011/2012.
Naib Canselornya Prof Datuk Daing Nasir Ibrahim berkata seramai 1,738 pelajar memohon melanjutkan pengajian di UMP secara online berbanding 1,046 pelajar pada tahun lepas.
"Peningkatan ini hasil daripada penawaran program kejuruteraan yang berdaya saing oleh UMP," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra media jom makan durian di sini.
Beliau berkata bagi sesi pengajian yang akan bermula pada 4 September itu, seramai 2,208 pelajar telah ditawarkan pengajian dalam 23 program kejuruteraan dan teknologi daripada keseluruhan permohonan berjumlah 15,921.
Daing berkata pengambilan sesi baru itu masih didominasi oleh pelajar perempuan dengan seramai 1,163 orang iaitu 53 peratus berbanding 1,045 pelajar lelaki. – BERNAMA